Zuliaty Zulkiffli


DUA lelaki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas penemuan 12 beg plastik mengandungi daun ketum seberat 150 kilogram (kg) dalam sebuah bot fiber, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Kedah/Perlis, Kepten (M) Zulinda Ramly berkata, dalam operasi 6.18 petang, suspek ditahan pada jarak 10.1 batu nautika Timur Laut muara Sungai Baru, Perlis.

Menurutnya, pihaknya yang melakukan rondaan mendapati bot fiber itu dalam keadaan mencurigakan apabila menukar haluan ke daratan selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Anggota APMM berjaya memintas dan menahan bot yang dinaiki dua lelaki termasuk tekong warga tempatan berusia 24 dan 35 tahun.

"Pemeriksaan lanjut ke atas bot fiber itu menemui sejumlah daun ketum dianggarkan bernilai RM9,000 yang cuba dibawa ke Langkawi," katanya pada sidang media di pejabat APMM Kuala Kedah di Alor Setar, hari ini.

DAUN ketum bernilai RM9,000 yang cuba diseludup ke Langkawi selepas menahan dua lelaki tempatan yang menaiki bot pemancing, semalam.FOTO Zuliaty Zulkiffli
DAUN ketum bernilai RM9,000 yang cuba diseludup ke Langkawi selepas menahan dua lelaki tempatan yang menaiki bot pemancing, semalam.FOTO Zuliaty Zulkiffli

Menurutnya, pihaknya turut merampas bot fiber berkenaan bersama enjin 150 kuasa kuda dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM60,000.

Katanya, suspek dipercayai bukan nelayan, tetapi menggunakan bot yang kebiasaannya membawa pemancing untuk mengelirukan pihak berkuasa.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Orang ramai boleh melaporkan kegiatan jenayah atau kecemasan di laut di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 7:12 PM