Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Cubaan menyeludup lapan tan daun ketum bernilai RM560,000 ke Pahang dan Kelantan menggunakan lori 'bonded' gagal, apabila polis berjaya menahan empat lelaki dalam dua serbuan berasingan di Sik dan Pendang, semalam.

Difahamkan, transporter (penghantar) utama untuk sindiket pengedaran daun ketum ini dikenali sebagai 'Pak Din' dari Kuala Perlis.

Dalam serbuan pertama pada jam 3 petang itu, polis menahan dua lelaki berusia 20-an dan 30-an di sekitar kawasan Sik.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Kedah/Perlis berdasarkan maklumat dan risikan yang diperoleh.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil siasatan mendapati mereka dipercayai dalam perjalanan ke Kelantan melalui Jalan Gerik untuk menghantar tiga tan daun ketum.

Menurutnya, mereka cuba mengaburi pihak berkuasa kononnya untuk menghantar barangan keperluan iaitu pelitup muka dalam lori berkenaan.

"Mereka diupah sekitar RM400 hingga RM500 untuk satu trip perjalanan membawa daun ketum itu.

"Bekalan diperoleh dari sekitar kawasan berhampiran Sik. Jumlah keseluruhan rampasan pertama sebanyak RM210,000 dan daun ketum itu dipercayai dijual pada harga RM70 sekilogram di Kelantan," katanya ketika ditemui di IPK Kedah, di sini, hari ini.

Dalam serbuan kedua jam 11 malam hari sama, pihaknya mengekori sebuah lori bonded di sekitar kawasan Pendang sebelum menahannya berhampiran kawasan Plaza Tol Pendang.

Kamarul Zaman berkata, lori itu dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun bersama rakannya berusia 30-an dan mereka dipercayai dalam perjalanan menuju ke Kuantan, Pahang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui lima tan daun ketum yang diletakkan dalam guni, kotak dan plastik hitam untuk dihantar ke negeri berkenaan.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM350,000 dan daun ketum berkenaan mampu dijual sekitar RM70 hingga RM80 sekilo di sana.

"Berikutan itu, kedua lelaki itu ditahan untuk tindakan lanjut dan mereka memberi alasan diupah untuk membawa daun ketum itu sekitar RM400 untuk satu trip perjalanan dan melakukan kegiatan itu seminggu dua kali," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Anggota polis memeriksa bungkusan kotak yang mengandungi daun ketum dalam serbuan di Sik. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Anggota polis memeriksa bungkusan kotak yang mengandungi daun ketum dalam serbuan di Sik. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 5:37 PM