SUASANA di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor sudah tidak meriah lagi walau PKPB di negeri ini sudah tamat sejak seminggu lalu, pengunjung tetap boleh dihitung dengan jari. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SUASANA di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor sudah tidak meriah lagi walau PKPB di negeri ini sudah tamat sejak seminggu lalu, pengunjung tetap boleh dihitung dengan jari. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Tumpat: "Keadaan sekarang sudah tak sama macam dulu, sampai satu tahap kami terpaksa turunkan harga asalkan barang terjual," kata peniaga pakaian di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor di sini, Rozimah Mat Daud.

Rozimah, 45, yang sudah 25 tahun berniaga di lokasi membeli-belah itu berkata, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini sudah tamat sejak seminggu lalu, pengunjung tetap 'boleh dihitung dengan jari'.

Katanya, walaupun pada hujung minggu, suasana di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor sudah tidak semeriah dulu malah menjelang tengah hari, masih ada penjual yang tidak memulakan perniagaan.

"Kalau dapat RM200 sehari pun sudah cukup baik kerana ada peniaga yang menjelang tengah hari, belum ada seorang pun yang datang membeli.

"Keadaan itu menyebabkan ada dalam kalangan kami yang menjual barangan pada harga yang murah daripada biasa asalkan terjual walaupun memperoleh untung sangat rendah," katanya.

Rozimah berkata, walaupun sudah boleh merentas negeri, pengunjung tetap berkurangan di destinasi tumpuan ramai itu sejak ia dibuka 32 tahun lalu.

Kebiasaannya, selain cuti persekolahan, musim tengkujuh juga menarik minat orang ramai untuk singgah di zon bebas cukai berkenaan selepas bermain air di lokasi sekitar.

"Mungkin orang ramai masih takut dengan Covid-19 walaupun ia sudah agak terkawal sekarang," katanya.

Tinjauan di lokasi berkenaan mendapati, keadaan agak lengang dan lot parkir yang biasanya sentiasa bertukar kenderaan, banyak yang kosong.

Setiap lot kedai yang beroperasi kelihatan sunyi tanpa urus niaga malah kira-kira 150 peniaga di kawasan itu juga kelihatan berbual sesama sendiri.

Bagi Mohd Fazlizam Razali, 36, perniagaan pakaian diusahakan tidak menjanjikan pulangan seperti dulu.

"Ada kalanya pakaian dijual pada harga menghampiri modal, ia semata-mata bagi meneruskan urus niaga," katanya yang sudah 20 tahun berniaga di lokasi berkenaan.

Menurutnya, sejak seminggu ini, kelibat pengunjung memberi kelegaan kepada peniaga walaupun sekadar masuk ke premis dan bertanyakan harga.

"Jika berlaku tawar-menawar membabitkan harga yang agak rendah, kerap juga saya akur kerana sekurang-kurangnya, pakaian terjual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 5:05 PM