Siti Rohana Idris


Tumpat: Kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor, di sini, dijangka kembali meriah apabila rentas negeri dibenarkan buat individu yang lengkap dos vaksinasi mulai hari ini.

Ini berikutan perantau akan pulang ke kampung halaman masing-masing selain kehadiran pelancong ke destinasi membeli-belah yang popular sejak 32 tahun lalu.

Kebanyakan peniaga meluahkan rasa lega dengan kebenaran rentas negeri dan mula menambahkan stok jualan untuk menyambut 'serangan' pengunjung.

Penjual perkakas dapur, Mohd Alfadhil Mat Saud, 42, dia mula menambah stok jualan terutama 'periuk viral' yang menjadi pilihan pembeli sejak dua hari lalu.

"Saya seakan dapat mengagak bahawa akan ada kelonggaran berhubung rentas negeri dalam masa terdekat dan sebab itu menambahkan stok dua hari lalu.

"Kami sangat seronok melihat situasi kawasan ini yang sebelum ini suram kembali meriah dan dijangka ramai yang akan datang membeli-belah mulai esok," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mohd Alfadil yang mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya turut menjalankan perniagaan dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun mengakui hasilnya tidak seberapa.

Peniaga pakaian, Norliza Ahmad, 54, berkata dia mendaparti kawasan bebas cukai ini mulai hidup sejak sebulan lalu apabila mula dikunjungi pembeli dari daerah luar Tumpat.

Menurutnya, stok jualan perlu ditambah dengan lebih banyak kerana melihat situasi hari ini di mana pelanggan bertali-arus mengunjungi premisnya.

"Sebelum ini hanya pelanggan sekitar Tumpat dan beberapa daerah lain sahaja yang datang, tapi hari ini sudah kedengaran pengunjung yang 'bercakap luar' (bahasa Melayu standard) menandakan perantau serta pembeli dari luar Kelantan sudah tiba.

"Situasi ini sangat melegakan kami dan sedikit sebanyak dapat mengganti kerugian yang dialami sepanjang tempoh tidak dapat berniaga, malah pakaian yang dijual juga banyak yang rosak kerana digigit tikus serta lipas," katanya.

Kelihatan ramai pengunjung datang membeli belah di Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor sebaik kerajaan membenarkan rentas negeri bermula hari ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Kelihatan ramai pengunjung datang membeli belah di Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor sebaik kerajaan membenarkan rentas negeri bermula hari ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 3:54 PM