Peniaga, Firdaus Sikandar menanti ketibaan pengunjung untuk membeli keperluan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri apabila sekitar kawasan Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini sehingga 20 Mei ketika tinjauan di Bazar Aidilfitri, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Peniaga, Firdaus Sikandar menanti ketibaan pengunjung untuk membeli keperluan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri apabila sekitar kawasan Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini sehingga 20 Mei ketika tinjauan di Bazar Aidilfitri, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Minggu akhir Ramadan kebiasannya menjadi 'pusingan terakhir' peniaga mencari keuntungan berniaga kelengkapan Aidilfitri terutamanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India.

Namun hasrat itu sekali lagi tidak tercapai apabila penurunan mendadak pengunjung di lokasi tumpuan berkenaan sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur bermula hari ini.

Peniaga baju Melayu, Normala Abdul Rahman berkata, jumlah pengunjung sudah berkurangan berbanding sebelum ini selepas PKP di Selangor bermula semalam kerana majoritinya adalah dari luar Lembah Klang termasuk Sabah dan Sarawak.

"Keadaan lengang tidak seperti kebiasaan dan ditambah pula apabila pengunjung luar Lembah Klang tidak boleh merentas daerah dan negeri.

"Saya terpaksa melelong pakaian jika keadaan ini terus berlaku dengan berbaki kurang seminggu sebelum Aidilfitri kerana tidak mahu menyimpan stok yang pasti tidak laku selepas habis musim raya," katanya ketika ditemui di Lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman, hari ini.

Beliau yang sudah berniaga sejak 12 tahun lalu di lokasi sama tidak menyangka PKP dilaksanakan ketika Aidilfitri hanya kurang seminggu yang kebiasannya tempoh peniaga mula mencari keuntungan berniaga.

Dalam pada itu, Firdaus Sikandar berkata, sudah dua tahun perniagaan kelengkapan raya hanya 'suam-suam' kerana Covid-19 tahun lalu dan lokasi tidak strategik di Jalan Raja pada 2019.

Menurutnya, ramai rakan peniaga yang masih belum 'balik modal' dan kini terpaksa menanggu kerugian akibat kekurangan pelanggan.

"Ada peniaga yang 'buang harga' sehingga 90 peratus hanya untuk pasti barang jualan terjual walaupun tidak untung.

"Peniaga juga buntu apabila mengenangkan barang jualan yang masih banyak belum terjual dan walaupun dijual murah namun tetap kurang sambutan kerana kekurangan pengunjung," katanya.

Tambahnya, kerajaan diminta untuk mempertimbangkan semula keputusan ini dan mungkin ada kelonggaran peniaga berniaga selepas Aidilfitridi lokasi sama sebaik PKP ditamatkan.

Hari ini, PKP bermula di Kuala Lumpur menyebabkan lokasi tumpuan beli belah ketika Aidilfitri agak lengang selepas rentas daerah tidak dibenarkan.

PKP di ibu kota ini diumumkan sehari selepas Selangor yang sudah bermula semalam bagi meredakan kenaikan mendadak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 2:26 PM