Siti Rohana Idris

KAWASAN bebas cukai Pengkalan Kubor, Tumpat, kembali meriah sejak beberapa hari lalu dengan kehadiran pengunjung terutama perantau yang dibenarkan rentas negeri bermula semalam.

Tinjauan Harian Metro mendapati di setiap lot kedai ada urusniaga sedang dibuat sama ada jual beli atau tawar menawar.

Secara umumnya, banyak barangan yang dijual di kawasan bebas cukai ini dibawa masuk dari Thailand dan disebabkan pintu sempadan negara masih belum dibuka, penjual memperoleh bekalan dari negara lain atau tempatan malah ada yang menghabiskan stok masih tersimpan.

Peniaga perkakas dapur Nor Azimah Che Ibrahim, 36, berkata, sejak lima hari lalu, set 'periuk viral' yang dijualnya laris malah ada yang membeli secara borong untuk dijual semula kepada pelanggan.

Dia yang mula berniaga kembali di kawasan bebas cukai itu sejak 14 Mei lalu berkata, perubahan drastik berlaku pada minggu lalu apabila ramai pengunjung yang datang dan rata-ratanya ingin pulang ke negeri lain untuk bekerja.

"Situasi sangat berbeza ketika dibenarkan beroperasi pada awal Mei lalu yang mana peniaga boleh diibaratkan seperti mencuba nasib apabila membuka kedai dan kedatangan seorang pembeli sahaja sudah cukup mengujakan.

"Sejak seminggu lalu terutama hari Jumaat, pengunjung sangat ramai yang mana kebanyakannya dalam kalangan perantau yang datang malah set periuk yang saya jual banyak dibeli," katanya ketika ditemui di kedainya, hari ini.

TINJAUAN di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor mendapati banyak premis jualan dikunjungi pembeli dan urusniaga berjalan dengan meriah sejak seminggu lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
TINJAUAN di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor mendapati banyak premis jualan dikunjungi pembeli dan urusniaga berjalan dengan meriah sejak seminggu lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Keterujaan yang sama dialami peniaga pakaian dan jersi Mohd Kamariza Yusof, 26, yang sudah tujuh tahun berniaga di situ.

Dia berkata, ketika beroperasi pada Ramadan lalu, pengunjung yang datang boleh dihitung dengan jari dan jika ramai sekalipun, hanyalah untuk bersiar.

"Jika ada yang datang secara kelompok sekalipun, hanya seorang sahaja yang membeli dan selebihnya memberi alasan bosan berada di rumah dan mengambil kesempatan keluar sebaik dibenarkan oleh kerajaan.

"Sejak seminggu lalu, keadaan kembali meriah dan satu kegembiraan buat kami yang boleh dikatakan sudah lama tiada urusan jual beli," katanya.

Sementara itu, pengunjung, Nurul Nadiah Osman, 30, yang tiba di kampung halamannya di Pasir Puteh, semalam, mengambil kesempatan membeli-belah di situ bersama keluarganya, hari ini.

Dia yang juga seorang penjawat awam dan menetap di Serdang, Selangor, berkata, memandangkan cuti yang diambilnya selama empat hari masih berbaki, dia datang ke Pengkalan Kubor untuk mencuci mata selain membeli-belah.

"Kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor boleb diibaratkan destinasi wajib setiap kali saya pulang bercuti ke kampung dan hari ini saya membeli set periuk, cadar dan toto untuk dibawa pulang ke Serdang nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 3:30 PM