Zaid Salim


Chukai: Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri (JPBN) membuka dua lagi pusat penempatan sementara (PPS) di Kemaman menjadikan keseluruhan sebanyak lapan setakat jam 2 petang tadi.

Ketua Sekretariat JPBN, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, penambahan PPS bagi menempatkan keseluruhan mangsa banjir iaitu seramai 402 orang daripada 109 keluarga.

Katanya, Kemaman menunjukkan pertambahan mangsa daripada 275 orang kepada 332 mangsa membabitkan 90 keluarga yang ditempatkan di enam PPS.

Menurutnya, PPS yang diaktifkan di daerah itu ialah Masjid Sungai Mas, Balairaya MPKK Padang Kubu, Dewan Orang Ramai Kampung Teladas dan Balairaya Kampung Paya Berenjut.

"Dua PPS yang baru diaktifkan di daerah itu ialah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik dan Dewan Orang Ramai Pengkalan Ranggon di Kerteh," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

HARUN Ismail, 64, menaiki sampan melihat keadaan kedai runcitnya yang ditenggelami air sedalam 1.5 meter susulan hujan berterusan sejak petang semalam di Kampung Padang Kubu. FOTO Ghazali Kori
HARUN Ismail, 64, menaiki sampan melihat keadaan kedai runcitnya yang ditenggelami air sedalam 1.5 meter susulan hujan berterusan sejak petang semalam di Kampung Padang Kubu. FOTO Ghazali Kori

Di Dungun, dua PPS diaktifkan iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Minda dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja bagi menempatkan 70 mangsa daripada 19 keluarga.

"PPS SK Kampung Besut dan Balairaya Kampung Seladang di Setiu dan PPS Dewan Futsal Keruak yang sebelum ini aktif ditutup berikutan semua mangsa dibenarkan pulang selepas banjir surut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 4:34 PM