Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Banjir di negeri ini semakin buruk dengan mangsa banjir terus melonjak kepada 1,703 daripada 469 keluarga yang ditempatkan di 16 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah, setakat jam 8 malam ini.

Ia berbanding hanya seramai 1,093 mangsa daripada 198 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS di tiga daerah, setakat jam 4 petang tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Segamat terus menjadi daerah terjejas apabila mangsa banjirnya melonjak kepada 1,229 penduduk daripada 345 keluarga di lapan PPS, malam ini.

Katanya, ia berbanding hanya 975 mangsa daripada 273 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS, petang tadi.

"Semua lapan PPS yang dibuka di Segamat menunjukkan peningkatan mangsa banjir, kecuali di Balairaya Kampung Seberang Batu Badak yang kekal 17 mangsa manakala Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang Labis juga kekal dengan 477 mangsa.

"PPS yang merekodkan pertambahan mangsa adalah Dewan Serbaguna Pekan Air Panas seramai 149 mangsa; Dewan Kampung Sungai Gatom Labis (121) dan Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah (154).

"Tiga lagi PPS di Segamat adalah Dewan Serbaguna Kampung Orang Asli Segamat Kecil (127); Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina) Ai Chun (120) dan Balairaya Kampung Usaha Jaya (64)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, Kluang turut mencatat penambahan dua PPS baru, menjadikan enam PPS dibuka di daerah itu malam ini berbanding hanya empat petang tadi.

Ia membabitkan Sekolah Agama Seri Tengah 1 (43 mangsa ); Kampung GSA Chamek (4); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana (196) dan SJKC Ping Ming (26).

"Dua PPS baharu di Kluang membabitkan Balairaya Kampung Bentong (21 mangsa) dan Balairaya Kampung Muhibah Paloh (10 mangsa).

"Sementara di Kota Tinggi pula, satu lagi PPS dibuka di Dewan Muafakat Taman Desaru Utama (131 mangsa), manakala Dewan Kampung Baru Sungai Mas kekal dengan 43 mangsa dan Kampung Baru Sungai Mas membabitkan enam keluarga dipindahkan ke dewan itu," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, tiga laluan utama iaitu masing-masing satu di Kota Tinggi dan dua di Segamat ditutup kepada semua kenderaan berikutan ia dinaiki air banjir dan berarus deras.

"Di Kota Tinggi, jalan yang ditutup adalah Jalan Ladang Siang (J223) berikutan dinaiki air banjir sedalam 0.75 meter.

"Di Segamat pula dua laluan ditutup membabitkan Jalan Senai-Gemas (FT001) berikutan dinaiki banjir sedalam 0.7 meter; Jalan Jabi-Bukit Tempurung (J516) turut ditutup kepada semua kenderaan berikutan dinaiki air sedalam 0.6 meter," katanya.

 KEADAAN banjir di Bandar Penawar dan Taman Desaru Utama, Kota Tinggi, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
KEADAAN banjir di Bandar Penawar dan Taman Desaru Utama, Kota Tinggi, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 9:24 PM