Zaid Salim


Kuala Terengganu: Penduduk yang terjejas akibat banjir di Kemaman meningkat kepada 1,310 mangsa daripada 313 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 4 pagi tadi, berbanding 956 mangsa daripada 234 keluarga semalam.

Pertambahan itu menjadikan keseluruhan mangsa dipindahkan di 13 PPS di lima daerah di seluruh Terengganu kini seramai 1,675 mangsa daripada 417 keluarga.

Di Kemaman, dua PPS baharu dibuka iaitu Masjid Kampung Batu 16 dan Dewan Orang Ramai Batu 14 menempatkan 115 mangsa membabitkan 26 mangsa.

Sebelum itu, lima PPS sudah dibuka iaitu Dewan Serbaguna Kampung Felda Seberang Tayor (122 mangsa, 36 keluarga), Dewan Sivik Kampung Air Putih (341 mangsa, 82 keluarga), Balai Raya Kampung Teladas (452 mangsa, 104 keluarga), Masjid Kampung Dadong (tujuh mangsa, dua keluarga) dan Surau Haji Othman (14 mangsa, lima keluarga).

Di Dungun, seramai 344 mangsa daripada 100 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu di SK Kampung Nyior (enam mangsa, satu keluarga), Dewan Serbaguna Pasir Raja (193 mangsa, 61 keluarga), Dewan Serbaguna Kampung Shukor (138 mangsa, 36 keluarga).

Lain-lain daerah iaitu Kuala Terengganu seramai 17 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di satu PPS, Sekolah Kebangsaan Atas Tol, manakala di Kuala Nerus mangsa banjir menurun kepada tujuh mangsa daripada satu keluarga ditempatkan di satu PPS iaitu Kampung Surau Mak Jintan.

Di Marang juga kekal dengan 14 mangsa daripada lima keluarga di PPS SK Merchang.

Bagaimanapun, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, keadaan cuaca di Perlis, Kedah, Perak, Terengganu, Kelantan dan Pahang semakin baik.

Katanya, amaran cuaca waspada (kuning) yang dikemaskini 11.50 pagi semalam untuk negeri berikut ditamatkan.

KEADAAN banjir di Kampung Air Putih dan Teladas yang masih ditenggelami air sedalam lebih satu meter. FOTO Ghazali Kori
KEADAAN banjir di Kampung Air Putih dan Teladas yang masih ditenggelami air sedalam lebih satu meter. FOTO Ghazali Kori

"Orang ramai boleh dapatkan maklumat cuaca terkini daripada laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media rasmi jabatan.

"Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut," katanya.

Bagaimanapun katanya, penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa.

Penduduk melihat keadaan jambatan yang menghubungkan Kampung Air Putih dan Teladas yang masih ditenggelami air sedalam lebih satu meter. NSTP/GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 9:54 AM