Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan memberi perkenan pelantikan Menteri Besar Perak baharu selepas diyakinkan calon itu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, Baginda sudah menerima menghadap beberapa pemimpin tertinggi parti politik bagi menyembah maklum perkembangan terkini situasi politik.

Katanya, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut diperkenan Sultan Nazrin untuk menghadap baginda di Istana Kinta, hari ini.

"Beliau (Ahmad Zahid) menyembah maklum perkembangan terkini dari sudut Umno dan rumusan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Perhubungan Umno semalam.

MOHD Annuar pada sidang media di luar perkarangan Istana Kinta berkenaan DUN Perak berikutan kegagalan ADUN Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu mendapat majoriti. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
MOHD Annuar pada sidang media di luar perkarangan Istana Kinta berkenaan DUN Perak berikutan kegagalan ADUN Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu mendapat majoriti. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

"Peranan baginda (memperkenankan pelantikan Menteri Besar baharu) hanya selepas diyakinkan bahawa calon yang dipersembahkan itu mempunyai sokongan majoriti mudah.

"Pihak istana juga bersedia untuk diyakinkan sudah ada calon untuk mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak yang baharu," katanya ketika ditemui pemberita di luar Istana Kinta, di sini, hari ini.

Katanya, tiada mana-mana pihak lain selepas Ahmad Zahid yang memohon untuk menghadap baginda dalam masa terdekat.

"Setakat ini tiada, namun saya tidak boleh ulas kerana dinamik (keadaan politik). Jika ada saya akan maklumkan kepada media," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di Istana Kinta bagi menghadap Sultan Nazrin pada 10 pagi dan keluar sejam kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 2:52 PM