Zaiton (Kanan) melihat mangsa kemalangan, Muhamad Israf Izzuddin di kediamannya di Taman Cahaya Masai. FOTO OMAR AHMAD
Zaiton (Kanan) melihat mangsa kemalangan, Muhamad Israf Izzuddin di kediamannya di Taman Cahaya Masai. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Pasir Gudang: Kerajaan Johor akan melancarkan program Cari Orang Memerlukan Bantuan (COMB) di kediaman bermula awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Zaiton Ismail berkata, pencarian COMB akan dibuat menerusi jabatan-jabatan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di bawah portfolio ini.

Katanya pada ketika ini, terdapat 49,570 penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seluruh Johor.

"Inisiatif COMB ini bukan sahaja tertumpu kepada bantuan bulanan tetapi untuk peningkatan ekonomi, kerana mungkin ada ibu tunggal di luar sana yang perlukan kemahiran dan peralatan.

"Kita ada golongan sasaran termasuk ibu tunggal, keluarga berpendapatan B40, orang tua, pesakit terlantar, termasuk bapa tunggal. Tapi sebolehnya kita berusaha lebih kepada penambahan ekonomi mereka.

"Kita akan kesan mereka menerusi COMB dengan bantuan dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT). Kita lihat keadaan orang yang hendak dibantu ini, sekiranya memerlukan bantuan JKM kita akan ke arah itu. Sekiranya ibu tunggal itu kita lihat dia berpotensi untuk tambah ekonomi kita akan bagi peralatan yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat penuntut Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), Muhammad Israf Izzuddin Arbain, 19, yang hilang ingatan selepas terbabit kemalangan di rumahnya di Taman Cahaya Masai, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 4:13 PM