AMINOLHUDA (empat dari kiri) melancarkan program Foodbank Yayasan pembangunan ekonomi islam malaysia (Yapeim)1.0 di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), di sini, tadi. FOTO Omar Ahmad
AMINOLHUDA (empat dari kiri) melancarkan program Foodbank Yayasan pembangunan ekonomi islam malaysia (Yapeim)1.0 di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), di sini, tadi. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


JOHOR meningkatkan saringan kesihatan di semua pintu masuk dari Singapura susulan peningkatan kes koronavirus baharu di negara berkenaan.

Exco Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan berkata, jumlah peralatan saringan kesihatan juga sudah ditambah sejak dua minggu lalu di dua pintu masuk dari Singapura iaitu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan CIQ Sultan Abu Bakar.

Menurutnya, saringan kesihatan diperluaskan daripada pejalan kaki kepada pemandu dan penumpang teksi, kenderaan persendirian, kenderaan perdagangan serta penunggang motosikal yang berulang alik dari Singapura.

“Sebenarnya kita sudah buat saringan kepada semua yang masuk ke negara khususnya melalui dua pintu utama ini, sama ada pejalan kaki atau mereka yang menaiki kenderaan.

“Kita juga dibekalkan dengan saringan berbentuk ‘mobile’ yang boleh dibawa dan saringan itu dipraktikkan sejak dua minggu lalu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) 1.0 di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), di Kulai, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Aminolhuda berkata, keputusan penangguhan program atau perhimpunan berskala besar akan dibuat sebelum hujung bulan ini.

Katanya, segala keputusan akan mendapat pandangan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu.

“Perhimpunan berskala besar pada Februari ini memang kita minta tangguhkan. Kita akan melihat perkembangan koronavirus dan mendapatkan nasihat KKM sama ada mahu meneruskan penangguhan itu atau sebaliknya,” katanya.

Untuk rekod, Mesyuarat Exco Kerajaan Johor pada 5 Februari lalu memutuskan untuk menangguhkan semua program perhimpunan berskala besar susulan koronavirus.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 6:10 PM