Mohd Rafi Mamat


Raub: "Saya amat bangga apabila lima hasil kerja tangan saya seperti parang, pedang dan pisau kini menjadi milik Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Lebih teruja apabila saya sendiri berpeluang menyerahkan produk besi itu kepada baginda," kata Kamaruzaman Yusof, 48.

Tukang parang yang terkenal dengan panggilan 'Akie Chek' itu berkata, lima bilah parang, pedang dan pisau yang dibuat khas untuk dijadikan sebagai hadiah istimewa kepada baginda adalah satu penghormatan kepadanya.

Menurutnya, minat dengan kehalusan produk berkenaan mendorongnya menimba ilmu dengan beberapa guru untuk menambah kemahiran menghasilkan parang.

"Kini, lebih 15 tahun saya terbabit menghasilkan parang untuk hiasan dan pelbagai guna seperti menebas, memotong kayu serta sembelihan haiwan ternakan.

KAMARUZAMAN mencuba parang yand dihasilkan dibengkelnya di Kampung Tersang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
KAMARUZAMAN mencuba parang yand dihasilkan dibengkelnya di Kampung Tersang. FOTO MOHD RAFI MAMAT

"Bagi menghasilkan parang berkualiti, besi yang digunakan perlulah terbaik. Teknik pembuatan juga turut memainkan utama," katanya yang menetap di Kampung Tersang, di sini.

Bapa enam cahaya mata itu berkata, terdapat beberapa jenis besi import digunakan untuk menghasilkan parang bergantung kepada jenis kegunaan dan kehendak pelanggan antaranya besi penyerap hentakan kenderaan (spring).

Kamaruzaman berkata, lima proses perlu dilalui untuk menghasilkan parang iaitu tempa, memotong, hasilkan mata, sepuh dan mengasah.

Katanya, proses sepuh menggunakan air menjadi penentu kepada kualiti serta ketahanan parang yang dihasilkan.

"Bagi menghasilkan parang lebih baik, saya menggunakan pelbagai peralatan moden seperti mesin mengasah, memotong dan membakar besi yang disumbangkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 2:46 PM