AMY Shahril menunjukkan jenis pedang yang memenangi pertandingan kraftangan.
AMY Shahril menunjukkan jenis pedang yang memenangi pertandingan kraftangan.
KOLEKSI barangan antik mendapat permintaan pelanggan.
KOLEKSI barangan antik mendapat permintaan pelanggan.
PELBAGAI barangan kraftangan berasaskan logam di kedai.
PELBAGAI barangan kraftangan berasaskan logam di kedai.
AMY Shahril tekun membuat ukiran pada hulu parang.
AMY Shahril tekun membuat ukiran pada hulu parang.
Oleh Rosman Shamsudin


Walaupun memiliki Diploma Kejuruteraan Awam, Amy Shahril Amir Hamzah, 28, memilih bekerja sendiri daripada makan gaji kerana minat mendalam dalam bidang kraftangan berasaskan logam.

Ketika menuntut di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak anak muda dari Kampung Bahagia, dekat Teluk Intan ini sudah meminati bidang kraftangan dan hasrat itu direalisasikan sesudah tamat pengajian. Lantas dia tekad mengikuti Kursus Asas Kraftangan di Pahang selama seminggu bagi mendalami ilmu dalam bidang itu.

Amy Shahril berkata, dengan sokongan dan tunjuk ajar daripada ayahnya, Amir Hamzah Abdul Hamid yang pernah mengusahakan kraftangan berasaskan logam, dan seterusnya mewariskan segala kemahiran kepadanya.

Pelbagai jenis barangan kraftangan berasaskan logam iaitu parang, pedang, pisau, keris dan alat pertanian sama ada tujuan untuk tujuan kegunaan seharian atau sebagai aksesori dipamer di kedai miliknya di Gerai Majlis, Jalan Mahkota, Teluk Intan, yang pasti membuatkan kita teruja dengan keunikan seni pembuatan tangan yakni seni ukiran pada hulu parang atau keris.

“Untuk menghasilkan barangan berasakan logam, contohnya parang atau pedang memerlukan daya kreativiti dan tahap kesabaran tinggi. Biasanya saya akan fokus terhadap pembuatan mata parang atau pedang daripada besi paku kereta api atau besi tumpat. Pembuatan sarung pula dibuat oleh bapa saya.

“Bagi menghasilkan bilah parang, matanya dibentuk terlebih dahulu diikuti pembuatan sarung daripada kayu jenis Kemuning, Karam Bunga atau Ketenga. Selepas itu barulah bahagian hulu dan sarung diukir dengan kreativiti sendiri atau permintaan pelanggan,” katanya.

Jelas Amy Shahril, usaha pengukiran pada hulu memerlukan penelitian dan kesabaran tinggi bagi memastikan ukiran itu mampu menarik minat pelanggan yang kadangkala cerewet apabila memiliki parang atau pedang.

Dia pernah mendapat tempat kedua pertandingan kraftangan peringkat kebangsaan dalam kategori kraftangan berasaskan logam iaitu pedang, yang dijadikan penyemarak semangat dan motivasi untuk terus berkecimpung dalam bidang mempunyai potensi masa depan.

Amy Shahril berkata, sejak lapan tahun menceburi bidang ini, dia kini mempunyai 2,000 bilah koleksi barangan berasaskan logam di kedainya, tidak termasuk stok di rumahnya. Kos memiliki pedang berkenaan ialah RM90 sehingga RM3,000 bergantung pada permintaan pelanggan.

Amy Shahril berkata, barangan berasaskan logam yang dijualnya boleh digunakan dalam kehidupan seharian atau dijadikan koleksi peribadi dan cenderamata terutama keris. Keris item yang biasa mendapat permintaan untuk tujuan tertentu selain bentuknya bergantung pada kehendak pelanggan.

Di samping itu, dia juga menjual kayu kecil daripada tumbuhan hutan yang bermutu tinggi yang beliau peroleh daripada pembekal untuk dibuat cincin dan barangan antik berupa keris kecil bagi mereka yang mempunyai hobi mengumpul barangan antik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:02 AM