SEBAHAGIAN 362 kayu bergergaji pelbagai saiz yang dibelah secara haram dalam Hutan Simpan Tersang.FOTO Mohd Rafi Mamat
SEBAHAGIAN 362 kayu bergergaji pelbagai saiz yang dibelah secara haram dalam Hutan Simpan Tersang.FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

OPERASI kesan dijalankan Unit Penguatkuasa Zon Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menemui 362 kayu bergergaji pelbagai saiz bernilai RM16,000 yang dibelah secara haram di kompatmen 72 Hutan Simpan Tersang di Raub, kelmarin.

Pemeriksaan di lokasi itu turut menemui sembilan tunggul pokok jenis Petaling, Keranji, Merbau, Keruing, Meranti Sarang Punai dan Meranti Paang yang ditebang secara haram bagi menghasilkan empat saiz kayu bergergaji.

Penolong Pengarah Kanan (Penguatkuasa Zon Pahang Barat) Azmi Mohd Zain berkata, rondaan diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa Zahari Samsudin menemui longgokan kayu bergergaji pelbagai saiz terletak hampir dengan penempatan Kampung Orang Asli Ulu Renggol dalam kawasan Hutan Simpan Tersang.

Katanya, aktiviti membelah kayu itu dilakukan oleh dua hingga empat individu yang mahir menghasilkan kayu bergergaji.

“Mereka menggunakan mesin memotong kayu bersaiz sederhana yang diubah suai matanya untuk tujuan membelah,” katanya hari ini.

Menurut beliau, kayu bergergaji yang dihasilkan dianggap berkualiti terutama bagi memenuhi permintaan pihak tertentu digunakan untuk bahan binaan seperti rumah dan bangunan.

“Individu yang terbabit dalam kerja haram ini gagal dikesan, mereka mungkin melarikan diri sejurus menyedari kehadiran kami.

“Bagaimanapun, kami akan berusaha mengesan dalangnya untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

ANGGOTA Unit Penguatkuasa Zon Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memeriksa sebahagian 362 kayu bergergaji pelbagai saiz yang dibelah secara haram dalam Hutan Simpan Tersang.FOTO Mohd Rafi Mamat
ANGGOTA Unit Penguatkuasa Zon Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memeriksa sebahagian 362 kayu bergergaji pelbagai saiz yang dibelah secara haram dalam Hutan Simpan Tersang.FOTO Mohd Rafi Mamat

Menurut beliau, harga kayu bergergaji yang kini semakin mahal mendorong pihak berkaitan semakin aktif menebang balak dan membelahnya secara haram di beberapa hutan simpan di daerah ini.

Azmi berkata, penguat kuasa Zon Pahang Barat akan terus melakukan rondaan secara berjadual pada siang dan malam di kawasan panas yang sebelum ini menjadi tumpuan kegiatan haram terbabit.

“Sebelum ini banyak kes tebang balak dan membelahnya di kawasan hutan simpan yang terletak berhampiran penempatan penduduk seperti FELDA dan perkampungan Orang Asli.

“Aktiviti lain yang sebelum ini banyak berlaku dalam hutan simpan di daerah ini membabitkan melombong bahan galian seperti emas secara haram dan dilakukan secara kecil-kecilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 4:20 PM