Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Sanggup belajar kaedah mengasah pisau serta senjata tajam lain di Australia.

Itu antara kemahiran dimiliki Zulkefli Yusoff, 58, yang pernah bertugas sebagai penyembelih kambing di Australia selama tiga tahun iaitu antara tahun 2007 hingga 2010.

Peluang itu mendorongnya mendalami ilmu mengasah pisau dan parang secara berperingkat menggunakan mesin khas dibantu kemahiran semulajadi serta minat pada senjata besi.

Zulkefli berkata, ketika bertugas di pusat sembelihan swasta yang menyediakan daging halal di Australia, dia perlu menyembelih 2,000 kambing setiap hari.

"Pisau yang saya gunakan hanya perlu diasah sebanyak dua kali sahaja. Mengasah pisau, parang dan kapak tidak terlalu susah sekiranya individu terbabit menggunakan teknik yang betul.

"Penggunaan mesin mengasah turut dapat mempercepatkan lagi proses terbabit. Saya mengambil masa antara lima hingga 10 minit untuk mengasah pisau, parang dan kapak bergantung kepada tahap kerosakan pada bahagian matanya," katanya.

Dia yang menetap di perumahan Permatang Badak di sini berkata, sudut yang tidak betul ketika mengasah menyebabkan pisau, parang, kapak dan keris yang diasah tidak akan tajam walaupun kelihatan berkilat.

Zulkefli berkata, setiap kali Aidiladha, permintaan untuk mengasah pisau, parang dan kapak akan bertambah.

"Peralatan berkenaan biasanya digunakan untuk melapah haiwan korban. Ujian ketajaman pisau dan parang selepas diasah boleh dilakukan dengan cara memotong runcing kertas.

"Setiap minggu saya mengasah pisau, parang dan kapak milik penduduk setempat dan rakan di daerah lain yang terbabit dengan pelbagai aktiviti seperti penyembelih binatang, tukang kebun dan peniaga daging.

"Permintaan mengasah bertambah dua hingga empat kali ganda pada musim perayaan terutama hari raya korban. Saya mengenakan bayaran antara RM1 hingga RM30 bergantung pada jenis dan tahap kerosakan pada peralatan dihantar," katanya.

Dia yang memiliki kemahiran mengurut dan berbekam berkata, untuk menambah pendapatan dia turut menjual pelbagai jenis parang dan pisau untuk pelbagai kegunaan buatan tempatan termasuk antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 2:58 PM
Zulkefli Yusoff mengasah parang yang akan digunakan untuk melapah haiwan korban pada Aidiladha nanti. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Zulkefli Yusoff mengasah parang yang akan digunakan untuk melapah haiwan korban pada Aidiladha nanti. FOTO MOHD RAFI MAMAT