ABD Ghani membuat pedang samurai.
ABD Ghani membuat pedang samurai.
ABD Ghani menggunakan kaedah tradisional untuk membakar besi bagi menghasilkan keris.
ABD Ghani menggunakan kaedah tradisional untuk membakar besi bagi menghasilkan keris.
PEKERJA membuat sampir keris.
PEKERJA membuat sampir keris.
SEBAHAGIAN daripada keris dan parang yang dihasilkan.
SEBAHAGIAN daripada keris dan parang yang dihasilkan.
Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi


Pada masa kini, tidak ramai dalam kalangan anak muda meminati seni pertukangan besi atau pandai besi kerana kerumitan proses untuk menghasilkan sesuatu barang.

Bagi Abd Ghani Salleh, 54, pandai besi memerlukan tahap kesabaran dan ketelitian yang tinggi dalam menghasilkan senjata tradisional seperti keris, kelewang dan pedang parang.

“Bagi menghasilkan senjata berkualiti dan baik, minat adalah perkara penting berbanding kemahiran kerana timbulnya rasa untuk belajar dan mengasah kemahiran.

“Dalam pertukangan besi, senjata paling susah untuk dihasilkan ialah keris kerana ia memerlukan beberapa minggu terutama menghasil­kan pamor.

Katanya, pamor ialah corak yang terhasil daripada proses pemanasan dan ketukan yang dilakukan terhadap pencatuman kepingan-kepingan besi tersebut yang tidak begitu sempurna.

“Keris menggunakan bahan campuran terdiri daripada besi waja, besi tawar dan besi melela yang diikat kemas sebelum dibakar untuk dimampatkan menjadi satu kepingan logam aloi.

“Kerumitan itulah yang menyebabkan keris dijual dengan harga berbeza berbanding senjata lain, malah ada yang mencecah puluhan ribu ringgit,” katanya.

Abd Ghani berkata, senjata yang dihasilkan di bengkelnya yang terletak di Kampung Perangkap, Bunut Susu Pasir Mas sering mendapat permintaan ramai terutamanya sebagai barang perhiasan.

Katanya, dengan ke­unikan dan ketelitian yang diterapkan ke atas senjata yang dibuatnya, dia pernah mendapat tempahan daripada Istana Selangor.

“Pengalaman paling manis dalam hidup saya adalah menerima tempahan keris daripada Istana Selangor sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor Sultan Shrafuddin Idris Shah Al-Haj beberapa tahun yang lalu.

“Selain itu, tokoh korporat juga sering melakukan tempahan terutamanya keris untuk dijadikan hadiah,” katanya.

Sesuai dengan pekerjaan yang sukar, tidak ramai yang tahu bahawa pandai besi boleh mendapat hasil yang lumayan.

Malah, ada pembuat keris kadangkala memperoleh pendapatan sehingga puluhan ribu ringgit sebulan dengan hanya menjual dan menghasilkan senjata.

Ini kerana ia bukan saja dijual kepada peminat senjata di negara ini semata-mata, sebaliknya turut diminati pengumpul koleksi senjata dari luar negara.

Abd Ghani turut mendapat tempahan dari luar negara seperti Brunei, Singapura dan Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 12:41 PM