PROSES membuat parang perlukan penelitian.
PROSES membuat parang perlukan penelitian.
PARANG hiasan paling mendapat sambutan.
PARANG hiasan paling mendapat sambutan.
ANIZAM bersama sebahagian parang dihasilkannya.
ANIZAM bersama sebahagian parang dihasilkannya.
Mohd Amin Jalil


Kebiasaannya parang dikaitkan dengan aktiviti seperti memotong kayu, membelah kelapa, melapah daging sewaktu majlis kenduri dan pelbagai lagi kerja seharian.

Namun kini, parang tidak lagi digunakan semata-mata untuk aktiviti berkenaan tetapi turut dijadikan hiasan dekorasi kediaman.

Justeru, tidak hairanlah sarung parang kini dihasilkan dengan pelbagai reka bentuk unik dan ukiran bernilai tinggi kerana menggunakan kayu jenis yang berkualiti serta tahan lama.

Apatah lagi, ia bukan mudah dihasilkan kerana dibuat secara tradisional yang memerlukan ketekunan, kesabaran dan kemahiran tinggi dari segi kehalusan ukiran pada hulu dan sarung parang.

Kemahiran tinggi ini ditampilkan seorang pembuat parang Anizam Mohd Deris, 46, di Rumah Rakyat Ampang Tinggi, Kuala Pilah.

Kepakarannya menghasilkan parang bermutu tinggi terutama dari segi ukiran hulu dan sarung membuatkan dia tidak menang tangan.

“Saya mula berminat dalam seni pembuatan parang pada tahun 2000 apabila melihat pembikin parang tersohor berdekatan rumahnya begitu mahir serta penyabar ketika menghasilkan sebilah parang.

“Saya kemudian mula membuat sarung parang untuk kegunaan sendiri dan ahli keluarga lain. Rentetan itu, saya kembangkan lagi bakat dengan menghasilkan sarung parang berukiran.

“Tak sangka sarung dan hulu parang berukir menarik perhatian ramai bukan saja dari negeri ini, malah seluruh negara kerana mereka menjadikannya sebagai produk dekorasi kediaman,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Ampang Tinggi.

Anizam berkata, seni membuat parang memerlukan kemahiran dan kesabaran kerana dalam sehari dia hanya mampu menyiapkan antara satu hingga dua bilah parang bergantung kepada saiz dan jenis tempahan.

Beliau yang sinonim dengan panggilan Abong Parang berkata, membuat parang hiasan lebih rumit kerana memerlukan kreativiti yang tinggi selain sifat kesabaran kerana untuk menyiapkannya mengambil masa bergantung kepada kehalusan seni ukiran dikehendaki.

Bapa kepada dua anak berusia 18 dan 23 tahun itu berkata, pemilihan kayu juga memerlukan pemerhatian teliti kerana perlu memilih ‘bunga’ kayu yang sesuai dijadikan sebilah parang cantik dan berkualiti tinggi.

“Paling merumitkan ketika hendak menghaluskan hulu dan sarung parang kerana mengambil masa lama.

“Kadangkala saya terpaksa berjaga malam untuk menyiapkan parang hiasan kerana kekangan masa,” katanya.

Katanya, walaupun sudah lebih 15 tahun terbabit dalam pembuat parang, dia tidak mampu menyiapkan lebih dua bilah sehari kerana perlu memastikan seni ukirannya terbaik.

Menurutnya, kayu yang digunakan dari jenis kemuning, kemuning hitam, sepetir, angsana, teras dan ru serta ia diperoleh dari serata tempat seperti Tasik Chini, Pahang dan Kelantan.

“Setiap kayu memiliki keunikan tersendiri termasuk dari segi warna, urat kayu dan kualiti. Ukirannya perlu menampilkan nilai estetika yang tinggi bagi menarik perhatian ramai.

“Justeru, ramai pembeli menjadikan parang sebagai hiasan di rumah atau bahan cenderahati,” katanya yang turut menerima tempahan membuat pedang dan kerambit.

Anizam berkata, kebiasaannya sebilah parang hiasan dijual pada harga antara RM200 hingga RM300 dan produk keluarannya pernah ditempatkan di Istana Seri Menanti.

Menurutnya, sehingga kini beliau sudah menghasilkan lebih 7,000 parang sejak mula membabitkan diri pada tahun 2000.

“Ketika ini tidak ramai golongan muda berminat mempelajari kemahiran membuat parang walaupun ia mampu meraih pendapatan yang baik berikutan kepelbagaian penggunaan parang,” katanya yang mendapat sokongan daripada isterinya, Norlela Ishak, 40.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 12:44 PM