PENGERUSI DAP Perak, Nga Kor Ming (kiri) bersama Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak melambaikan tangan ketika hadir menghadap sembah Sultan Perak di Istana Kinta pada 4 Disember lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
PENGERUSI DAP Perak, Nga Kor Ming (kiri) bersama Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak melambaikan tangan ketika hadir menghadap sembah Sultan Perak di Istana Kinta pada 4 Disember lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pokok Assam daripada DAP, Leow Thye Yih menetapkan pendirian tidak akan menjalinkan kerjasama dengan Umno membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Thye Yih dalam satu kenyataannya menegaskan tidak akan menyokong mana-mana calon daripada Umno sebagai Menteri Besar Perak.

"Saya berharap dan menyeru rakan-rakan seperjuangan khasnya Adun DAP Perak menyokong pendirian saya dan seterusnya menolak mana-mana calon daripada Umno sebagai Menteri Besar Perak berikutnya," katanya dalam satu kenyataannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengimbau kembali keputusannya untuk menyertai DAP pada 2009 apabila Barisan Nasional (BN) diketuai oleh Umno yang menumbangkan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak.

"Peristiwa berkenaan adalah sejarah hitam yang tidak dapat dilupakan oleh saya. Negara kita mencipta sejarah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018 di mana atas sokongan padu rakyat Pakatan Harapan (PH) menumbangkan kerajaan BN dan buat kali pertamanya membentuk kerajaan Pusat dan beberapa kerajaan negeri.

"Akan tetapi, Umno sekali lagi pada tahun ini merampas Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan, Kerajaan Perak serta beberapa kerajaan negeri PH yang lain, tindakan Umno sedemikian jelas menderhaka mandat rakyat.

"Kedua-dua peristiwa itu mengingatkan diri saya bahawa saya tidak akan menyokong mana-mana calon daripada Umno sebagai Menteri Besar Perak yang berikutnya," katanya

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan DAP dan PKR bersedia untuk bekerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan negeri Perak yang baharu selepas peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, parti itu akan memberi kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri baharu yang lebih stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 6:49 PM