ANGGOTA bomba dan penyelamat membantu memindahkan mangsa banjir yang terkandas di Kampung Air Putih. FOTO Ihsan bomba
ANGGOTA bomba dan penyelamat membantu memindahkan mangsa banjir yang terkandas di Kampung Air Putih. FOTO Ihsan bomba
Zaid Salim

Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kemaman semakin meningkat daripada 659 orang kepada 956 mangsa daripada 234 keluarga yang ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 10 malam ini.

Penambahan itu menjadikan keseluruhan mangsa dipindahkan di 11 PPS di lima daerah di negeri ini seramai 1,335 daripada 347 keluarga.

Di Kemaman, satu lagi PPS dibuka iaitu Dewan Serbaguna Felda Seberang Tayor menjadikan lima PPS yang diaktifkan setakat ini.

Empat lagi PPS ialah Dewan Serbaguna Kampung Air Putih, Balairaya Kampung Teladas, Masjid Kampung Dadong dan Surau Haji Othman.

Di Dungun, seramai 331 mangsa banjir daripada 97 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu pertambahan seramai dua mangsa.

Lain-lain daerah kekal iaitu Kuala Terengganu seramai 17 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di satu PPS, manakala di Kuala Nerus kekal dengan 17 mangsa daripada tujuh keluarga di dua PPS.

Di Marang juga kekal dengan 14 mangsa daripada lima keluarga di satu PPS.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, kebarangkalian kawasan berisiko banjir di sepanjang Sungai Kemaman terkesan dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang memandangkan keadaan hujan sesekali lebat secara berterusan.

"Justeru penduduk di kawasan rendah dinasihatkan supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 12:23 AM