Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dikenakan di Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor bermula Ahad ini hingga 13 Disember depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPB itu selepas mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan situasi semasa Covid-19 di kawasan berkenaan.

Katanya, PKPB ini membabitkan 16,300 penduduk di Bandar Putera Indah, Lorong 7 hingga 10, Batu 7 dan Kampung Mohd Nor.

"Sehingga kini, KKM sudah melaksanakan 672 ujian saringan dan 56 kes positif Covid-19 direkodkan di kawasan ini.

"Pada masa sama, terdapat 302 sampel saringan yang masih menunggu keputusan.

"Berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Tongkang Pecah bermula 29 November 2020 sehingga 13 Disember 2020," katanya pada sidang media hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan PKPB itu sama seperti PKPB di kawasan lain.

"Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan untuk mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kawasan terbabit.

"SOP PKPB ini adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh rujuk di laman sawang Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 7:26 PM