HOSPITAL Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang. FOTO Arkib NSTP
HOSPITAL Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad

Johor Bahru: Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang diaktifkan semula sebagai Hospital Covid-19 bermula Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, hospital itu dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 sahaja kecuali kes kecemasan.

Antara perkhidmatan yang dikekalkan, Haemodialisis (pesakit sedia ada sahaja), Radiologi (Pemeriksaan Ultrasound/CT Scan diteruskan seperti tarikh temujanji yang tidak menjejaskan fungsi Hospital Covid-19 dan Perkhidmatan Pesakit Luar dan Klinik Pakar.

"Selain itu perubatan kecemasan di Jabatan Kecemasan & Trauma akan dinilai dan distabilkan terlebih dahulu sebelum dirujuk dan dihantar ke hospital rujukan.

"Kes bukan kecemasan dinasihatkan untuk dapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Setakat semalam, terdapat 33 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Negeri Johor iaitu 28 kes daripada kluster-kluster sedia ada, 2 kes import dan 3 kes daripada lain-lain saringan.

Tiada pertambahan kluster baharu menjadikan kumulatif kluster aktif di negeri Johor kekal sebanyak 12 kluster.

Menurut Vidyananthan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Tongkang Pecah di Batu Pahat berkuat kuasa esok sehingga 13 Disember depan.

Katanya PKPB itu membabitkan seramai 16,300 penduduk di empat kawasan iaitu Bandar Putera Indah, Lorong 7 hingga 10, Batu 7 dan Kampung Mohd Nor.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 4:40 PM