Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Rumah Sewa Anong dan Rumah Sewa Beverly Hills di Bintulu, Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lokaliti itu dikenakan PKPD selepas berlaku peningkatan kes Covid-19.

"Sehingga 3 Mac lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat 1,247 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 84 kes positif dikesan di dua lokaliti ini.

"KKM sahkan, berlaku peningkatan kes mendadak dengan kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

"Selepas membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Rumah Sewa Anong dan Rumah Sewa Beverly Hills bermula 5 hingga 18 Mac ini," katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka juga dikenakan PKPD bermula 6 hingga 19 Mac ini.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

"Sehingga 3 Mac lalu, sebanyak 152 kes postif direkodkan membabitkan lima kakitangan, lapan ahli keluarga serta 139 pelajar tahanan," katanya.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) PKPD bagi ketiga-tiga kawasan itu sama seperti pelaksanaan PKPD yang diumumkan sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 7:01 PM