Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Mukim 12 di daerah Barat Daya, Pulau Pinang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa 6 hingga 19 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPB berkenaan selepas mengambil kira peningkatan kes positif yang dikesan di kawasan terbabit.

"Sehingga 3 November, sebanyak 35 kes positif Covid-19 termasuk 11 kes baharu direkodkan di mukim ini.

"Selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes Covid-19 di mukim ini, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di kawasan ini.

"Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di kawasan ini," katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, SOP PKPB ini adalah sama seperti diumumkan sebelum ini dan penduduk boleh merujuk laman sesawang MKN untuk maklumat lanjut.

GAMBAR hiasan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
GAMBAR hiasan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, sidang khas hari ini juga bersetuju menamatkan Perintah Kawan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di projek perumahan rakyat (PPR) Taman Harmoni, Sandakan esok seperti yang dijadualkan.

Katanya, sehingga 26 Oktober lalu, KKM mengesahkan tiada kes positif Covid-19 baharu direkodkan di kawasan terbabit.

"Bagaimanapun, PPR Taman Harmoni ini masih tertakluk di bawah prosedur operasi standard (SOP) PKPB bagi seluruh Sabah," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 5:29 PM