Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Seorang pengarah syarikat kerugian RM449,000 selepas disamun tiga lelaki dalam kejadian di depan sebuah gudang di Jalan Gergaji 15/14, Seksyen 15, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 3.20 petang itu, mangsa berusia 42 tahun dikatakan baru mengeluarkan wang berkenaan dari bank di Taipan USJ Subang Jaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Superintendan Ruslan Abdullah berkata, ketika memandu pacuan empat rodanya, mangsa dihampiri tiga lelaki dipercayai warga Amerika Latin yang menaiki dua kereta BMW.

Katanya, mereka memaklumkan tayar pacuan empat roda dipandu pengarah syarikat terbabit pancit.

“Mangsa tidak menghiraukan mereka dan terus memandu ke gudang rakannya di Jalan Gergaji 15/14, Seksyen 15.

"Ketika tiba di depan gudang berkenaan, mangsa keluar dan melihat tayar kenderaannya benar-benar pancit dan kesempatan itu diambil seorang dari suspek untuk melarikan sebuah beg berisi wang tunai, komputer riba, telefon bimbit, dompet dan beberapa dokumen milik mangsa.

"Suspek melarikan beg berkenaan yang diletakkan di tempat duduk belakang kenderaannya itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 12:01 AM