HEE Loy Sian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Insentif Khas One-Off Pakej Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor Dalam Menangani Impak Covid-19 di SUK Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
HEE Loy Sian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Insentif Khas One-Off Pakej Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor Dalam Menangani Impak Covid-19 di SUK Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Semua agensi dan pihak berkaitan perlu meningkatkan koordinasi masing-masing dalam usaha memastikan insiden pencemaran seperti pencemaran bau yang dikesan berhampiran loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox minggu lalu tidak berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian berkata, Isnin lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air di Selangor diadakan bagi mengenal pasti punca insiden terbabit.

"Dalam mesyuarat itu, saya menerima maklumat bahawa kes pencemaran bau di Taman Velox itu berlaku kerana masalah koordinasi.

"Saya tidak mahu tuduh siapa salah siapa betul tetapi kita semua perlu meningkatkan komunikasi di antara satu sama lain seperti Lembaga Urus Air Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), IWK dan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya mengulas sama ada pihaknya ada berbincang dengan IWK bagi mengelakkan pencemaran di masa depan.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Insentif Khas One-Off Pakej Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor Dalam Menangani Impak Covid-19 di bilik Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan SUK di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan penafian IWK berhubung dakwaan pihaknya menjadi punca kepada insiden pencemaran bau sehingga menyebabkan henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Dalam pada itu, Loy Sian menafikan dakwaan IWK sudah menghantar notis awal kepada kerajaan negeri melalui PBT berhubung insiden itu.

"Untuk makluman semua, kita mempunyai satu kumpulan aplikasi WhatsApp 'Ops Sumber Air' membabitkan semua pegawai tertinggi termasuk saya di mana jika berlaku pencemaran, kita dimaklumkan di situ, jadi kami segera turun padang.

"Apa yang berlaku di Taman Velox, saya dimaklumkan IWK tidak memaklumkan dalam kumpulan WhatsApp itu. Itu pasti dan mereka kata hantar surat kepada PBT iaitu Majlis Perbandaran Selayang (MPS), malangnya MPS terima surat itu selepas 10 hari pencemaran berlaku.

"Saya harap, selepas insiden ini, koordinasi perlu dipertingkatkan. Saya sudah beri tahu, semua insiden berlaku perlu cepat maklum dalam kumpulan ini supaya kita semua dapat bertindak segera,' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 5:25 PM