Pintu Gerbang Mahkota, Johor Bahru. FOTO NSTP
Pintu Gerbang Mahkota, Johor Bahru. FOTO NSTP
Nurul Amanina Suhaini


SERAMAI 936 pemandu pelancong berlesen di Johor menerima insentif one-off RM1,000 melalui pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Negeri Johor bagi meringankan beban dihadapi industri pelancongan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia membabitkan peruntukan RM936,000.

Katanya, kerajaan negeri sedar penggiat industri pelancongan amat terkesan dengan pembatalan tempahan hotel serta pakej pelancongan, akibat daripada penurunan jumlah ketibaan pelancong asing dan domestik.

Katanya, pengusaha premis penginapan seperti hotel dan inap desa, syarikat dan ejen pelancongan, pemandu pelancong, pemilik produk pelancongan serta industri sokongan lain kini turut mengalami kesukaran, terutamanya dalam memastikan pusingan aliran tunai mereka kekal terjamin.

"Bukan itu sahaja, pendapatan bulanan bagi mereka yang bekerja secara bebas juga turut terjejas. Ini dikeruhkan lagi dengan pembatalan penganjuran acara-acara perniagaan yang turut memberi impak yang negatif kepada sektor pelancongan secara menyeluruh.

"Sehubungan itu, inisiatif yang diumumkan antaranya pemberian insentif one-off kepada pemandu pelancong berlesen yang menetap di Johor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pengecualian bayaran lesen perniagaan turut diberikan kepada pemilik syarikat pelancongan dan hotel bagi tahun ini.

"Insentif ini membabitkan jumlah anggaran sebanyak RM894,211 yang memberi manfaat kepada 1,031 pemegang lesen perniagaan," katanya.

Beliau berkata, insentif turut membabitkan pengecualian bayaran duti hiburan bagi taman tema dan pusat hiburan keluarga bagi tahun ini, yang mana pengecualian bayaran itu dianggarkan berjumlah RM3 juta.

"Selain itu, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan masih dalam proses merangka strategi jangka pendek dan panjang bagi memulihkan serta mengembalikan daya saing industri pelancongan Johor pasca Covid-19.

"Diharapkan insentif yang diumumkan akan membantu penggiat industri pelancongan, serta mampu meningkatkan semula pencapaian sektor pelancongan dan sektor perkhidmatan di Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 5:21 PM