GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua asrama pekerja warga asing di Johor ditamatkan esok iaitu lebih awal daripada tarikh sepatutnya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan PKPD asrama pekerja warga asing Jalan Rivera, Tanjung Agas, Tangkak, Johor yang dijadualkan berakhir pada 13 Julai depan.

Beliau berkata, satu lagi lokaliti adalah PKPD asrama pekerja warga asing Kawasan Kilang Wah Cens Plastic Indusries & Metal Sdn Bhd di Buloh Kasap, Segamat yang sepatutnya tamat pada 16 Julai.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan 691 ujian saringan di asrama pekerja warga asing Jalan Rivera, Tanjung Agas, Tangkak dan 518 daripadanya disahkan positif Covid-19.

"KKM mendapati trend kes sudah menurun, kluster terkawal manakala semua kes positif sudah menerima rawatan.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di lokaliti itu esok jam 11.59 malam seperti yang dijadualkan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini

Ismail Sabri berkata, PKPD asrama pekerja warga asing Kawasan Kilang Wah Cens Plastic Indusries & Metal Sdn Bhd, Buloh Kasap, Segamat turut ditamatkan lebih awal dengan alasan yang sama.

"Sepanjang pelaksanaan PKPD di lokaliti itu, KKM sudah melakukan 1,026 ujian saringan dan 700 daripadanya disahkan positif Covid-19.

"KKM mendapati trend kes sudah menurun, kluster terkawal manakala semua kes sudah menerima rawatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 7:54 PM