GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Desa Bajau dan Kampung Dasar Baru, Lahad Datu, Sabah yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan sehingga 29 Disember hadapan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lanjutan tempoh PKPD dilaksanakan berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan peningkatan kes di lokaliti berkenaan.

"Sehingga kini, KKM melaksanakan 1,439 ujian saringan dan sebanyak 238 kes kumulatif Covid-19 direkodkan di kedua-dua lokaliti ini.

"KKM turut mengesahkan masih terdapat baki sampel saringan sebanyak 1,160 yang menunggu keputusan dan risiko untuk berlaku penularan Covid-19 dalam kalangan penduduk berikutan kes aktif yang tinggi.

"Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Desa Bajau dan Kampung Dasar Baru selama 14 hari lagi bermula 16 sehingga 29 Disember 2020," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tadi.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, Sandakan ditamatkan esok seperti dijadualkan.

"Sehingga 11 Disember lalu, KKM melaksanakan 1,062 ujian saringan dan sebanyak 217 kes kumulatif Covid-19 direkodkan.

"Sehingga kini hanya tinggal baki 29 kes aktif positif Covid-19 yang membabitkan tahanan dan kakitangan di pusat tahanan ini sedang dirawat," katanya.

Katanya, kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD Asrama Top Glove, Klang, Selangor berikutan berlaku trend penurunan kes positif yang dilaporkan dan tiada lagi sampel saringan yang menunggu keputusan.

Semua kes negatif juga sudah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selama dua kali tempoh inkubasi Covid-19.

"Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, sidang khas turut bersetuju untuk menamatkan PKPD di Asrama Top Glove, Klang membabitkan asrama lelaki di Jalan Abadi 1A/KU8 serta asrama wanita di Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Abadi 10A/KU8 pada 14 Disember.

"Sehingga kini, daripada 28 kilang yang ditutup, 14 kilang dibenarkan beroperasi semula selepas semua pekerja disaring dan kilang disanitasi, manakala baki 14 kilang lagi akan dibuka secara berperingkat.

"Pihak pengurusan Top Glove juga diarahkan untuk mematuhi arahan berkaitan pengurusan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja selepas penamatan PKPD ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 7:46 PM