GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan 567 kes baharu positif Covid-19 hari ini sekali gus

menunjukkan peningkatan 2.5 kali ganda berbanding 224 kes positif semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor melaporkan 364 kes (27.9 peratus), manakala Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 202 kes (15.5 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes positif yang dilaporkan hari ini.

"Daripada 567 kes yang dilaporkan di negeri-negeri di Lembah Klang, sebanyak 488 kes atau 86.1 peratus adalah daripada kluster-kluster (sedia ada)," katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu beliau berkata, sebanyak 1,304 kes baharu dilaporkan hari ini dan ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 45,095 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 33 kes yang positif hari ini atau 2.5 peratus adalah berkaitan kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara.

"Ini membabitkan 20 kes di Kluster Penjara Seberang Perai, lapan kes di Kluster Penjara Kepayan, tiga kes di Kluster Rumah Merah dan dua kes Kluster Tembok," katanya.

Menurutnya, daripada 1,304 kes baharu hari ini, terdapat empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Kes import itu, katanya, membabitkan warganegara yang tiba dari negara Arab Saudi (tiga kes) dan Mesir (satu kes).

Dalam pada itu, beliau berkata, tiga kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Selasih, Kluster Bah Pengkalan dan Kluster Bah Pasir.

"Kluster Selasih membabitkan Putrajaya, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan. Setakat hari ini, seramai 290 individu disaring, hasilnya 20 kes dikesan positif Covid-19 manakala 270 individu lagi adalah negatif. Tiada kematian dilaporkan bagi kluster ini.

"Kluster Bah Pengkalan membabitkan Perak. Seramai 354 individu disaring, hasilnya enam kes dikesan positif Covid-19 manakala 348 individu lagi adalah negatif. Juga tiada kematian dilaporkan bagi kluster ini," katanya.

Bagi Kluster Bah Pasir pula, katanya, ia membabitkan penularan Covid-19 di Negeri Sembilan dan Putrajaya.

"Untuk kluster ini, seramai 90 individu sudah disaring, hasilnya lima kes dikesan positif Covid-19 manakala 85 individu lagi adalah negatif. Tiada kematian dilaporkan bagi kluster ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 8:09 PM