MICHAEL TAY CHEE BOON
MICHAEL TAY CHEE BOON
Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerajaan digesa membangunkan sistem mengesan pesakit Covid-19 dan kontak rapat yang lebih berkesan ketika negara sedang berdepan peningkatan kes penularan pandemik itu setiap hari.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, setidak-tidaknya sistem yang diguna pakai melalui aplikasi MySejahtera perlu diperkemaskan.

"Sistem MySejahtera perlu diperkemaskan supaya boleh mengesan terus kontak rapat sekiranya seseorang positif Covid-19.

"Pengesanan secara cepat boleh membantu mengurangkan kebolehjangkitan wabak berbahaya itu," katanya.

Katanya, penggunaan sistem seumpama itu juga perlu dilaksanakan secara mandatori serta dipantau oleh pihak berkuasa secara tegas dan berterusan.

Dalam pada itu katanya, pengurangan peruntukan dalam sektor kesihatan awam dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam dibimbangi memberi kesan dalam membendung pandemik Covid-19

Menurut Michael Tay, secara keseluruhannya Belanjawan 2021 disifatkan belanjawan yang menyentuh secara menyeluruh semua aspek.

Namun katanya, terdapat beberapa sektor besar yang mengalami pengurangan peruntukan.

"Saya melihat Belanjawan 2021 disentuh secara menyeluruh, semua golongan dapat biarpun secara sederhana termasuk peruntukan pendidikan.

"Walaupun pendidikan mendapat peruntukan terbesar, jumlah peruntukan juga berkurangan tetapi semua peringkat masyarakat dan kaum dapat merasakannya.

"Bagaimanapun, sektor kesihatan penting dan memerlukan peruntukan yang besar untuk memerangi pandemik Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 7:06 PM