FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyambut baik penambahbaikan bantuan pembayaran balik bersasar yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semasa pembentangan Belanjawan 2021.

Langkah terbaharu ini membuka laluan kepada golongan terjejas, khususnya kumpulan B40, M40 dan perusahaan mikro, menangani kesulitan dialami dan memberi peluang kepada mereka untuk pulih setelah berdepan cabaran yang berpunca daripada penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya menyedari bahawa Covid-19 memberi impak berbeza kepada masyarakat dan secara konsisten, menghubungi pelanggan bagi memahami keperluan mereka.

Katanya, dari sudut ekonomi, penambahbaikan kepada bantuan bayaran balik bersasar ini memberi kesan positif terhadap keyakinan perniagaan dan pengguna. "Ia jelas memperlihatkan bahawa institusi perbankan secara proaktif menangani kepayahan yang dihadapi pelanggan mereka.

"Kami menggesa pelanggan untuk tampil mendapatkan sokongan yang diperlukan. "Bank Islam akan terus membantu mereka membuat keputusan dan menyediakan pilihan kewangan terbaik bagi membantu mereka mengatasi cabaran yang dialami," katanya dalam kenyataan.

Bank Islam sedang memperhalusi proses terbabit bagi memastikan pelaksanaan cekap bantuan ini demi kemudahan pelanggan.

Maklumat lanjut berkenaan penambahbaikan bantuan pembayaran balik bersasar akan dikemaskini di laman web dan platform media sosial Bank Islam tidak lama lagi.

Namun, pelanggan boleh mula memohon bantuan ini bermula dari 23 November ini.

"Kami turut mengalu-alukan langkah kerajaan untuk mempertingkatkan peruntukan Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF) sebanyak RM110 juta dan memperluas pelaksanaan program iTEKAD iaitu satu kemudahan pembiayaan mikro yang memastikan penjanaan pendapatan mampan serta daya tahan kewangan perniagaan yang dimiliki golongan B40 dan asnaf dalam mendepani kesan pandemik Covid-19.

"Ia adalah satu perkembangan positif kerana iTEKAD salah satu daripada instrumen Kewangan Sosial Bank Islam dalam memastikan kesejahteraan sosio-ekonomi negara.

"Dengan lebih banyak pembabitan institusi kewangan lain serta kerjasama dengan majlis agama Islam negeri dan rakan pelaksana pada tahun hadapan, kami percaya usaha ini akan memastikan strategi pemulihan ekonomi negara yang lebih menyeluruh dan pada masa sama meningkatkan taraf hidup penerima," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 3:41 PM