PEMOTONGAN bekalan elektrik yang dibuat ke atas premis di Kuching yang disyaki menjalankan perjudian haram. FOTO MELVIN JONI
PEMOTONGAN bekalan elektrik yang dibuat ke atas premis di Kuching yang disyaki menjalankan perjudian haram. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Kuching: Empat premis membabitkan kedai runcit, kedai makan dan rumah persendirian yang disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian tanpa lesen, dipotong bekalan elektrik, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, pemotongan bekalan itu dilakukan dalam Operasi Bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching dan kakitangan Sarawak Energy Berhad (SESCO) di sekitar Kuching antara 9 pagi hingga 2 petang.

"Operasi dibuat di premis didapati menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.

"Mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, polis boleh membuat permintaan untuk pemotongan elektrik jika mempunyai alasan munasabah bahawa premis itu menjalankan sebarang aktviti perjudian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, IPD Kuching tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti perjudian tanpa lesen dan akan melaksanakan tindakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 ke atas mereka yang terlibat.

Menurutnya, dalam tempoh lapan hari bermula 1 hingga 8 Disember ini, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching berjaya membuat tujuh serbuan ke atas premis perjudian dan menahan lapan penjual judi dalam talian.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 6:23 PM