Asrol Awang

Kuantan: Polis memotong bekalan elektrik di tujuh premis perniagaan yang dikesan menjalankan kegiatan perjudian di sekitar daerah ini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, tindakan itu dilakukan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IDP) Kuantan menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan perjudian di sekitar daerah Kuantan.

"Tindakan dilakukan selepas hasil risikan mendapati beberapa premis dikenal pasti menjalankan aktiviti perjudian awam tanpa lesen serta penjualan tiket judi secara dalam talian.

"Kegiatan terbabit berselindung di sebalik kedai perniagaan runcit dan kolam memancing udang.

"Bagi membanteras aktiviti perjudian di daerah ini, tujuh premis diambil tindakan mengikut Seksyen 21 A (1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

"Dalam kes ini, polis memohon tindakan pemotongan elektrik terhadap premis yang dijadikan tempat penjualan nombor loteri awam tanpa lesen dan penjualan tiket judi dalam talian," katanya ketika menyertai operasi pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis perniagaan di Sungai Isap, di sini hari ini.

TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO tular
TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO tular

Katanya, sepanjang tempoh 1 Januari hingga hari ini, lima lelaki termasuk seorang warga asing berumur antara 20 hingga 30 tahun ditahan.

Katanya, kesalahan dikenakan mengikut Seksyen 4A (a) ARJT 1953 dan Seksyen 4(1)(c) ARJT 1953.

"Berdasarkan siasatan, dianggarkan RM200 hingga RM500 jualan loteri awam dikutip sehari manakala judi dalam talian pula antara RM500 hingga RM1,000 sehari.

"Antara rampasan yang dilakukan ialah 22 komputer riba, lapan unit telefon bimbit, sebuah tablet, 14 kerusi, 16 meja, tiga sofa serta wang tunai.

"Golongan sasaran adalah penduduk setempat dan warga asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 11:16 AM