KAKITANGAN TNB memotong bekalan elektrik di premis yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian haram dalam Ops Judi di sekitar daerah Melaka Tengah. FOTO IHSAN POLIS
KAKITANGAN TNB memotong bekalan elektrik di premis yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian haram dalam Ops Judi di sekitar daerah Melaka Tengah. FOTO IHSAN POLIS
Nuraliawati Sabri


Melaka: Padah masih menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen, lima premis di sekitar daerah Melaka Tengah di sini, dipotong bekalan elektrik dalam Ops Judi, semalam.

Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) selama enam jam berakhir 4 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, Ops Judi dijalankan di sekitar Batang Tiga, Batu Berendam, Bandar Hilir dan Ayer Keroh membabitkan premis yang dikesan menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.

"Operasi ini dijalankan bagi mengekang kegiatan perjudian seperti loteri awam tanpa lesen dan perjudian tambah nilai isian semula telefon bimbit.

"Semakan turut mendapati, kesemua premis berkenaan pernah diambil tindakan sebelum ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4B (A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Beliau berkata, dalam operasi semalam kesemua premis itu dikenakan tindakan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bertujuan mengekang kegiatan perjudian haram dan memutuskan bekalan elektrik supaya premis ini tidak kembali beroperasi.

"Polis memberi amaran keras kepada pemilik premis perniagaan tidak menyalahguna lesen perniagaan yang diberikan dengan menjalankan kegiatan haram.

"Sejak Januari lalu sehingga hari ini sebanyak 35 premis dikenakan tindakan pemotongan elektrik," katanya.

Afzanizar berkata, pihaknya juga amat berharap masyarakat dapat menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya terdapat aktiviti perjudian haram di kawasan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 4:40 PM