KPDNHEP Selangor merampas minyak masak bersubsidi yang diseleweng serta barangan lain seperti kenderaan dan peralatan pemindahan minyak masak dalam Ops Goreng bernilai RM 240,470 di sebuah premis di Telok Panglima Garang. FOTO IHSAN KPDNHEP
KPDNHEP Selangor merampas minyak masak bersubsidi yang diseleweng serta barangan lain seperti kenderaan dan peralatan pemindahan minyak masak dalam Ops Goreng bernilai RM 240,470 di sebuah premis di Telok Panglima Garang. FOTO IHSAN KPDNHEP
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas dan menyelamatkan minyak masak bersubsidi yang diseleweng bernilai RM40,000 pada Ops Goreng di sebuah premis di Telok Panglima Garang, jam 11 pagi semalam.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, Ops Goreng dijalankan ke atas sebuah stor haram yang menyimpan minyak masak bersubsidi bagi pasaran industri tempatan dan luar negara.

"Serbuan dibuat hasil risikan selama dua minggu KPDNHEP Shah Alam dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

"Ketika serbuan, dua pekerja sedang leka memunggah satu tan minyak masak itu sebuah lori untuk dihantar ke sebuah syarikat di Puchong.

"Suspek yang juga warga tempatan dan warga Bangladesh berumur 35 hingga 45 tahun itu dipercayai pemandu lori serta pekerja di stor haram terbabit," katanya pada kenyataan hari ini.

Muhamad Zikril Azan berkata, pemeriksaan lanjut menemui sebuah treler dipenuhi muatan tiga tan minyak masak bersubsidi.

"Turut ditemui tangki berisi 12 tan minyak masak bersubsidi selain peralatan untuk aktiviti memotong dan mengasingkan minyak masak bersubsidi paket satu kilogram," katanya.

Menurut beliau, pihaknya menemui 5,000 keping sisa plastik minyak masak bersubsidi satu kilogram di sekitar premis terbabit.

Muhamad Zikril Azan berkata, pemilik stor haram terbabit turut menghantar bekalan minyak masak berkenaan ke sebuah syarikat yang kemudiannya dieksport.

"Kami menemui dokumen penghantaran minyak masak bersubsidi satu kilogram paket daripada pembekal minyak masak berlesen sekitar Selangor.

"Hasil soal siasat terhadap suspek, dia memaklumkan, tugasnya adalah mengasingkan minyak masak bersubsidi dan memasukkannya ke dalam tangki khas di premis terbabit.

"Suspek yang juga pemandu lori itu pula menghantar bekalan minyak masak bersubsidi kepada pihak ketiga malah dia memaklumkan yang stor terbabit sudah beroperasi sejak enam bulan lalu," katanya.

Menurut beliau, nilai rampasan seperti kenderaan dan peralatan pemindahan minyak masak bersubsidi adalah lebih RM200,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barangan kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

"Kami masih mengesan pemilik premis atau penyewanya selain pembekal minyak masak bersubsidi ini," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi seperti ini boleh menghubungi 1-800-886-800 atau 03-88826088.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 8:55 PM