GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Anggota polis berpangkat konstabel menerima tujuh jahitan di tangan kiri akibat tertusuk kayu ketika bergelut dengan penagih dadah yang cuba melarikan diri dalam kejadian di Teluk Kumbar dekat sini, semalam.

Kejadian itu membabitkan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam Ops Tapis yang dijalankan serentak seluruh negara.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, terdahulu, sepasukan polis BSJN termasuk anggota berkenaan menyerbu lokasi 'kaki ketum' di belakang sebuah kedai di kawasan berkenaan jam 4 petang.

"Suspek melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis dan anggota terbabit mengejar lelaki berkenaan sebelum berlaku pergelutan.

"Pergelutan itu menyebabkan anggota berkenaan mengalami cedera di tapak tangan bahagian kiri serta terpaksa menerima tujuh jahitan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Muhamed Usuf, anggota berusia 28 tahun itu kini berada dalam keadaan stabil dan diberi cuti sakit selama tiga hari.

tamat

From: Nini

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 11:32 PM