Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zuhainy Zulkiffli


WANG simpanan sebanyak RM1.84 juta milik pesara badan berkanun berusia 76 tahun lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam, Jun lalu.

Malah, mangsa turut menjual barangan kemas dan meminjam daripada adik beradik, sebelum disedari ditipu.

Pada 5 Jun, mangsa dari Bukit Jambul, Pulau Pinang dihubungi suspek lelaki bernama Adam Wong, dari 'Pos Laju Kuala Lumpur' memaklumkan mangsa menghantar bungkusan dari Kepong ke Kota Kinabalu, Sabah yang mengandungi sekeping kad pengenalan warna biru dan lapan kad debit bank.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A A Anbalagan berkata, mangsa bagaimanapun menafikannya, namun suspek kononnya menasihati mangsa supaya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan akan membantu mangsa.

Katanya, tidak lama kemudian mangsa menerima panggilan dan bercakap dengan tiga suspek menyamar pegawai polis yang mendakwa mangsa terbabit dengan penggubahan wang haram bernilai RM1.48 juta.

"Suspek mengatakan terdapat akaun bank yang dibuka atas nama mangsa di Kota Kinabalu dan meminta mangsa melapor kedudukan kepada 'pegawai polis' berkenaan setiap dua jam.

"Mangsa juga tidak dibenar menceritakan kepada sesiapa, dan disebabkan takut, pesara berkenaan hanya mengikut arahan suspek," katanya kepada NSTP, hari ini.

Anbalagan berkata, mangsa kemudian diminta memberikan sejumlah wang, kononnya pihak polis dan bank negara akan membekukan akaun bagi tujuan siasatan.

Katanya, mangsa kemudian memindahkan wang simpanan Tabung Haji termasuk wang pusaka arwah ibunya dan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) ke dalam sebuah akaun selepas diminta berbuat demikian.

"Pada 23 Jun lalu, mangsa memasukkan cek ke dalam akaun sebuah syarikat Enterprise berjumlah RM790,000 diikuti dua cek pada 29 Jun berjumlah RM300,000 kepada syarikat pembinaan dan dua keping cek lagi berjumlah RM650,000.

"Suspek juga meminta mangsa membayar wang bon RM1 juta sebagai wang jaminan bagi mengelakkan ditahan dan reman," katanya.

Anbalagan berkata, pada 13 dan 22 Julai, mangsa sekali lagi memasukkan dua keping cek masing-masing berjumlah RM200,000 kepada sebuah syarikat enterprise, hasil jualan barangan kemas dan pinjaman daripada adik beradiknya.

Selepas membayar separuh daripada wang bon itu, suspek mendakwa pihak mahkamah menetapkan pembayaran sebanyak RM500,00 lagi bagi mencukupkan jumlah RM1juta.

"Mangsa yang buntu kerana sudah tiada wang meminta pertolongan anaknya di Kuala Lumpur dan membuat laporan polis pada 4 Ogos lalu selepas mengesyaki ditipu.

"Mangsa kerugian RM1.84 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 10:28 AM