GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


SEORANG jurutera kilang di Bayan Baru kerugian RM13,000 selepas diugut wanita tidak dikenalinya.

Mangsa berusia 25 tahun itu dilaporkan berkongsi video bogelnya kepada wanita terbabit sebelum menerima ugutan berkenaan.

Dia dikatakan terpaksa membuat bayaran berkenaan kepada suspek kerana bimbang video bogel berkenaan tersebar kepada umum.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, mangsa sebelum itu menggunakan aplikasi Line bagi membuat panggilan video dengan wanita tidak dikenalinya pada 18 Julai lalu.

Katanya, mangsa dan wanita itu kemudian melakukan onani tanpa menyedari perbuatan itu dirakam.

"Selepas selesai panggilan, mangsa menerima pesanan ringkas daripada nombor tidak dikenali pada jam 3 petang hari sama dan mengugut akan menyebar video bogel berkenaan.

"Mangsa diminta supaya membayar sebanyak RM13,000 sekiranya tidak mahu video itu tersebar, "katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut Anbalagan berkata, mangsa juga sudah membayar wang berkenaan menerusi transaksi dalam talian.

"Bimbang dengan kejadian itu, mangsa datang ke balai polis pada jam 10.11 malam tadi bagi membuat laporan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana peras ugut menyebar video bogel, " katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 8:57 AM