Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Umno memutuskan untuk mengekalkan keputusan terdahulu dengan mendokong Perikatan Nasional (PN) tanpa kerjasama PKR dan DAP.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya turut menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan political consensus.

"UMNO mencadangkan supaya kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik Covid-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat yang sedang susah dan gelisah.

"Kami juga menyarankan supaya inisiatif Rekonsilisasi Nasional Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik bernaung dalam kerajaan PN dan juga parti-parti pembangkang," katanya dalam kenyataan, hari ini selepas mesyuarat Majlis Kerta Tertinggi (MKT) Umno.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zaid Hamidi.
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zaid Hamidi.

Terdahulu, media melaporkan Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat MKT Umno di Menara Dato Onn di sini, bermula pada 8.30 malam dan selesai 12.15 tengah malam tadi.

Mesyuarat itu dipercayai membincangkan langkah seterusnya yang perlu diambil parti itu susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kelmarin bahawa tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Media tempatan dan antarabangsa berkumpul sejak 7 malam tadi bagi menantikan kehadiran pemimpin tertinggi parti itu selain menantikan sidang media diadakan selepas selesai mesyuarat terbabit.

Terdahulu, kepimpinan tertinggi Barisan Nasional turut mengadakan mesyuarat khas pada tengah hari semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 12:55 AM