MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan diadakan di Ibu Pejabat Umno Malaysia, Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan diadakan di Ibu Pejabat Umno Malaysia, Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno hari ini dijangka turut menyentuh gesaan beberapa pemimpin supaya disegerakan pemilihan parti.

Sama ada Umno akan menangguhkan pemilihannya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dijangka diputuskan MKT Umno, petang ini.

Kali terakhir pemilihan Umno adalah pada 30 Jun 2018 dan tempoh itu akan tamat pada Jun depan.

Namun Umno masih boleh menangguhkan pemilihannya seperti ditetapkan mengikut perlembagaan parti.

Isu kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga dijangka diperincikan dengan lebih mendalam, khususnya mengenai sama ada Umno perlu menarik sokongan terhadap Bersatu dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Parlimen dibubarkan.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) sebelum ini memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang tetapi, sementara tempoh itu keputusan terus mendokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan seperti diputuskan olek MKT sebelum ini masih kekal.

Ini adalah mesyuarat MKT Umno pertama diadakan selepas PAU 2020 pada 27 dan 28 Mac lalu di sini.

Mesyuarat hari ini yang dijangka dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual berlangsung bermula 4.30 petang dan berakhir sebelum masuk waktu berbuka puasa.

Sementara itu, sumber pemimpin Umno berkata, isu audio suara perbualan mirip Ahmad Zahid dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka dibangkit beberapa ahli MKT dalam mesyuarat, bagi meminta penjelasan presiden, namun menjelaskan kemungkinan tiada keputusan dibuat berhubung isu itu.

Setakat ini, belum ada makluman sama ada sidang media akan diadakan sebaik tamat mesyuarat tertutup itu, di Ibu Pejabat Umno Malaysia, Menara Dato' Onn, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 4:35 PM