GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang wanita yang dipercayai mengalami masalah kemurungan selepas dua tahun tidak mempunyai pekerjaan ditemukan meninggal dunia di sebuah pangsapuri dekat Mak Mandin, di sini, pagi tadi.

Difahamkan dalam kejadian jam 7 pagi itu, mayat wanita berusia 46 tahun berkenaan ditemui orang awam dalam keadaan cedera parah di kepala.

Menurut sumber, wanita itu yang tinggal di tingkat lima pangsapuri bersama adik dan bapanya dipercayai ke tingkat 13 sebelum terjun.

"Wanita itu dilaporkan menghidap kemurungan dan bergantung kepada ubat penenang akibat masalah peribadi.

"Dia meninggalkan nota di biliknya menyatakan dia akan pergi jauh dan jika mati organnya boleh diberikan kepada ahli keluarga," katanya.

Kata sumber, wanita itu dipercayai mempunyai sindrom kemurungan kerana tidak mempunyai pekerjaan kira-kira dua tahun.

"Dia turut diceraikan suaminya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung insiden berkenaan.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 2:39 PM