CHONG Yue Fatt selepas menghadiri proses prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban. FOTO BERNAMA
CHONG Yue Fatt selepas menghadiri proses prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Seremban: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner di sini, hari ini bahawa pada awalnya, dia tidak dapat memastikan jasad yang ditemukannya ialah Nora Anne Quoirin, memandangkan kedudukannya yang agak jauh daripada mayat itu.

Saksi awam, Chong Yue Fatt, 57, yang juga individu pertama ternampak mayat remaja terbabit pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne berkata, ketika terlihat jasad itu, dia menjerit bagi memaklumkan ahli lain dalam kumpulannya tentang penemuan berkenaan.

"Sebaik menemui mayat itu, kami cuba menghubungi pihak berkuasa namun gagal kerana tiada liputan, justeru kami meminta seorang lelaki dalam kumpulan kami supaya keluar daripada kawasan terbabit dan memberitahu bapanya bagi memanggil anggota bomba ke lokasi.

"Semasa menunggu kedatangan pihak berkuasa, kami saling mengingati ahli kumpulan agar tidak mendekati mayat supaya tidak mencemarkan dan merosakkan bukti. Kami menunggu agak lama, sekitar satu hingga dua jam," kata saksi ke-28 itu dalam bahasa Mandarin.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Maimoonah Aid bagi menentukan punca kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis itu memasuki hari ke-12 hari ini.

Menurut Chong, mayat remaja terbabit yang ditemukan kira-kira 50 meter dari sebuah pondok yang sebelum itu dilalui oleh kumpulan pencari berkenaan, berada dalam keadaan terbaring di atas batu, seolah-olah sedang tidur.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nuralis Mat yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues mengenai barangan yang ada di pondok, peniaga kasut itu berkata: "Saya nampak bekas makanan seperti (mi) Maggi dan botol minuman."

Ketika ditanya oleh koroner mengenai siapa yang membuat keputusan tentang kawasan pencarian, Chong berkata, pencarian di kawasan itu dibuat selepas dicadangkan oleh rakannya bernama Chan, yang memberitahu dia telah mendapatkan tilikan daripada seorang sami di Thailand dalam usaha mengesan Nora Anne.

"Sami itu memberitahu Chan agar mencari mangsa di tempat yang ada sungai," katanya.

Sementara itu, saksi ke-29, Muhammad Firdaus Kamarudin, 35, berkata, dia ternampak seorang perempuan berambut panjang berwarna perang, bertubuh sederhana dan berkulit putih sedang mandi di tepi sungai di kawasan berkenaan pada 4 Ogos.

"Ketika itu saya dalam perjalanan ke tempat kerja di Loji Air Gunung Berembun dengan menunggang motosikal kira-kira jam 7 malam dan saya hanya melihat sepintas lalu perempuan tidak berbaju sedang mandi membelakangkan saya," katanya.

Operator Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) itu berkata, walaupun keadaan semakin gelap, dia dapat melihat kelibat perempuan berkenaan dengan jelas selain memberitahu mahkamah aktiviti mandi-manda di kawasan terbabit adalah perkara biasa yang dilakukan oleh penginap di resort berkenaan.

Muhammad Firdaus berkata, dia memaklumkan perkara itu kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) dua hari kemudian sebaik mengetahui berita mengenai kehilangan seorang remaja di kawasan berkenaan.

Terdahulu, dua saksi iaitu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohamad Idris, 52, dan Pegawai Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Faizal Ahmad, 40, masing-masing sebagai saksi ke-26 dan 27, dipanggil memberi keterangan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Prosiding inkues bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 6:38 PM