GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Seorang penoreh getah didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang lelaki menggunakan sebilah kapak.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhi hukuman itu ke atas Muhammad Hasrul Abd Halid, 34, dari Felda Palong yang mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada jam 3 petang, 17 Oktober lalu, bertempat di belakang sebuah rumah di Felda Palong dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Shukry Malek, 30, dengan menggunakan sebilah kapak.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, ketika Mohd Shukry sedang bergotong-royong kenduri di rumah jirannya, berlaku pertengkaran mulut antaranya dengan lelaki dikenali sebagai Sokri.

Pertengkaran itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara Sokri dengan bapa Mohd Shukry sebelum itu.

Bagaimanapun, tertuduh yang juga biras kepada Sokri tiba-tiba masuk campur dan melibas sebilah kapak menggunakan tangan kirinya sebelum terkena bahu kiri Mohd Shukry.

Mohd Shukry cedera dan kemudian membuat laporan polis berkaitan kejadian.

Khir Nizam turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 2:52 PM