Senjata tajam kapak yang digunakan oleh suspek ketika kejadian. FOTO IHSAN PDRM
Senjata tajam kapak yang digunakan oleh suspek ketika kejadian. FOTO IHSAN PDRM
Oleh Juwan Riduan


Penampang: Gurauan antara dua sahabat ketika minum minuman keras berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka cedera akibat diserang menggunakan kapak.

Kejadian jam 10.30 malam itu berlaku di Kampung Buit Hill, Putatan di sini, kelmarin.

Mangsa yang berusia 31 tahun cedera di tangan dan belakang badan selepas dikapak rakannya.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian terbabit.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan.

"Mangsa cedera di tapak tangan kiri serta belakang badan akibat ditetak dengan kapak.

"Motif kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham sesama mereka ketika mabuk selepas minum minuman keras," katanya dihubungi hari ini.

Mohd Haris berkata, pihaknya kemudiannya menahan suspek berusia 29 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

Katanya, sebilah kapak yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 5:56 PM