SEBAHAGIAN daripada motosikal yang dikenakan saman Pol 257 dalam operasi membanteras samseng jalanan di Jalan Ipoh-Butterworth berhampiran Simpang. FOTO IPD Taiping
SEBAHAGIAN daripada motosikal yang dikenakan saman Pol 257 dalam operasi membanteras samseng jalanan di Jalan Ipoh-Butterworth berhampiran Simpang. FOTO IPD Taiping
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Keseronokan dua remaja melakukan aksi 'wheelie' tidak kekal lama apabila mereka ditahan dalam operasi membanteras samseng jalanan di Jalan Ipoh-Butterworth berhampiran Simpang, di sini, malam tadi.

Tidak cukup dengan itu, seorang daripadanya iaitu pelajar tingkatan empat didapati dengan selamba menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran.

Remaja berusia 16 dan 18 tahun antara tiga yang ditahan dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

PELAJAR tingkatan empat didapati dengan selamba menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran. FOTO IPD Taiping
PELAJAR tingkatan empat didapati dengan selamba menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran. FOTO IPD Taiping

Turut ditahan seorang remaja berusia 17 tahun kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikal Yamaha LC ditunggangnya.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, terdahulu anggotanya melakukan pemerhatian dari jarak jauh.

"Kita dapati motosikal ditunggang pelajar terbabit melakukan enam kali aksi 'wheelie'bermula jam 12.30 tengah malam, manakala remaja berusia 18 tahun yang juga pekerja kilang berkenaan melakukan tiga aksi 'wheelie'. "Polis kemudian mengekori kedua-duanya yang menunggang motosikal Honda EX5 warna hitam, sebelum kedua-duanya ditahan dan dibawa ke IPD Taiping untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

MOTOSIKAL EX5 tanpa nombor pendaftaran yang ditunggang secara berbahaya oleh pelajar tingkatan empat. FOTO IPD Taiping
MOTOSIKAL EX5 tanpa nombor pendaftaran yang ditunggang secara berbahaya oleh pelajar tingkatan empat. FOTO IPD Taiping

Osman berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan menunggang sambil melakukan aksi berbahaya itu, serta Seksyen 108 akta sama bagi kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran palsu.

"Bagaimanapun, ujian air kencing yang dilakukan mendapati ketiga-tiga remaja itu negatif dadah," katanya.

Osman berkata, sebanyak 52 saman Pol 257 dikeluarkan dalam operasi berkenaan atas atas pelbagai kesalahan termasuk tiada cermin sisi, tiada lesen, ubahsuai peti rantai serta ekzos dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.

REMAJA berusia 16 dan 18 tahun antara tiga yang ditahan. FOTO IPD Taiping
REMAJA berusia 16 dan 18 tahun antara tiga yang ditahan. FOTO IPD Taiping

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 4:39 PM