Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG remaja bukan saja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah membuat aksi ‘wheelie’ di hadapan polis berhampiran lampu isyarat di Seberang Marang, Marang, semalam.

Selain membuat aksi berbahaya itu, remaja berusia 16 tahun itu turut menunggang motosikal secara melawan arus selain tidak memberi kerjasama apabila bertindak melarikan diri.

Menurut sumber, kehadiran suspek disedari sepasukan pegawai dan anggota yang sedang melakukan pemantauan pematuhan PKP kira-kira 10 malam.

Katanya, anggota yang melalui kawasan berkenaan ternampak suspek sedang menunggang motosikal secara melawan arus menghala ke Dungun sebelum berpatah balik sambil membuat aksi ‘wheelie’.

“Suspek kemudian melarikan diri ke arah Bandar Marang menyebabkan anggota mengejar remaja terbabit sambil memperkenalkan diri sebagai polis sebelum meminta dia memberhentikan motosikal dan memberi kerjasama untuk diperiksa.

 SUSPEK termasuk tiga lagi lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Marang. FOTO Ghazali Kori
SUSPEK termasuk tiga lagi lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Marang. FOTO Ghazali Kori

“Bagaimanapun, suspek tidak mengendahkan arahan diberikan dengan memecut motosikalnya namun berjaya ditahan di sebuah simpang di Taman Kalungan Melor dengan bantuan Unit Rondaan Bermotosikal.

“Hasil pemeriksaan, suspek gagal memberi keterangan mengenai status motosikal ditunggangnya berikutan enjin motosikal itu gagal dibaca. Dia juga gagal mematuhi arahan PKP dan menghalang penjawat awam melakukan tugas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Marang, Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan suspek direman selama empat hari sehingga 4 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 411 KK dan Peraturan 7 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 2:16 PM