ANTARA motosikal dan individu yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu JSPT Bukit Aman di RNR Seremban. FOTO IHSAN EMAIL
ANTARA motosikal dan individu yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu JSPT Bukit Aman di RNR Seremban. FOTO IHSAN EMAIL
Nurul Hidayah Bahaudin


GUNA nombor pendaftaran palsu kerana kecuaian memberikan nombor yang salah ketika mahu membuat nombor pendaftaran baharu.

Itu alasan diberikan oleh seorang pelajar lelaki tingkatan lima yang ditahan selepas menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu dalam Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman di Hentian Rehat dan Rawat Seremban, di sini, awal pagi tadi.

Menurut keterangan remaja lelaki berusia 17 tahun itu, motosikal jenis Honda yang ditunggangnya adalah milik abangnya.

Difahamkan motosikal itu pernah mengalami kemalangan menyebabkan nombor pendaftarannya patah sebelum dibuat semula.

Remaja itu memaklumkan berlaku kesilapan ketika membuat semula nombor pendaftaran berkenaan dengan memberikan nombor yang salah kepada kedai aksesori yang membuatnya.

ANTARA individu yang diperiksa dalam operasi berkenaan. FOTO IHSAN EMAIL
ANTARA individu yang diperiksa dalam operasi berkenaan. FOTO IHSAN EMAIL

Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi, sebanyak 146 motosikal diperiksa.

Ketua Operasinya Inspektor Johanis Wahab berkata, pihaknya turut memeriksa 158 individu terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami mengeluarkan 305 saman atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen, cukai jalan tamat tempoh dan lain-lain kesalahan.

“Selain itu, kami turut menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang didapati menunggang motosikal jenis Honda menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Menurutnya, remaja lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 2:04 PM