Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis Johor merampas dadah jenis syabu serta ekstasi dan menyita barang rampasan bernilai RM1.09 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Muar, pada Selasa dan Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Muar turut menahan enam individu termasuk seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 20 hingga 39 tahun.

Beliau berkata, pada 9.30 pagi Selasa lalu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan dua lelaki tempatan berusia 24 dan 32 tahun yang menaiki bot gentian kaca di kawasan Laut Parit Sakai, Muar, sebelum pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 1.07 kilogram (kg) syabu.

"Susulan itu, polis menahan dua lagi individu tempatan iaitu wanita dan lelaki berusia 20 serta 31 tahun dipercayai ibu saudara dan anak saudara kepada suspek di kawasan kebun sawit di Muar, pada 4 petang, Rabu lalu.

"Soal siasat awal, suami kepada wanita itu kini di penjara atas kesalahan penyeludupan dadah dan wanita itu dipercayai mengambil alih kegiatan itu.

"Mereka ada saudara di Bengkalis, Indonesia. Dadah ini dipercayai dibawa dari Kuala Lumpur ke Muar dan diseludup ke Bengkalis untuk pasaran Indonesia," katanya pada sidang media di IPK Johor, hari ini.

Ayob Khan berkata, saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala semakan rekod mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Beliau berkata, rampasan dadah membabitkan 14.60kg syabu dan 9,905 pil ekstasi dengan nilai keseluruhan RM924,190 manakala jumlah sitaan adalah RM50,000.

"Dalam operasi berasingan, polis turut menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 34 dan 39 tahun di sekitar Muar pada 2.30 petang, Rabu lalu.

"Lelaki warga Indonesia berusia 34 tahun itu mempunyai isteri warga tempatan berusia 30-an yang juga penjawat awam bertugas di Muar.

"Polis kini sedang menyiasat sama ada isteri suspek terbabit sama ada mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan dadah itu," katanya.

Beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau, selain turut merampas 3.10kg syabu dengan nilai dadah dirampas adalah RM124,000.

Menurutnya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula 14 Oktober sehingga 20 Oktober depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan rampasan dadah pada sesi sidang media yang diadakan di IPK Johor, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan rampasan dadah pada sesi sidang media yang diadakan di IPK Johor, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 7:01 PM