Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis menahan empat lelaki tempatan dan rampasan dadah bernilai RM1.07 juta menerusi empat serbuan di Muar dan Johor Bahru, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan dijalankan pada Sabtu dan Ahad itu membabitkan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor Bahru bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Muar, sekitar jam 6.30 petang hingga 6.30 pagi.

Katanya, empat lelaki berusia 30 hingga 41 tahun yang ditahan itu dipercayai bertindak sebagai 'runner' (penghantar) dan 'storage' (penyimpan/penjaga) dan mereka dipercayai baru beroperasi bulan ini.

"Penahanan empat suspek membawa kepada penemuan syabu disembunyikan di dalam tempat simpanan peralatan lori tunda dan bonet kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV.

"Hasil saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif methamphetamine, manakala hasil semakan rekod mendapati kesemuanya tidak mempunyai rekod lampau.

"Modus operandi penyeludupan dadah ini adalah dengan menyembunyikan dadah dalam kereta bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum dihantar ke Indonesia menerusi jalan laut bagi kegunaan pasaran tempatan.

"Polis merampas sebanyak 23.93 kilogram syabu bernilai RM1.07 juta, tiga liter air ketum, selain 480 gram daun ketum, manakala rampasan dadah ini boleh digunakan seramai 239,250 penagih," katanya pada sidang media di IPK Johor, hari ini.

Ayob Khan berkata, polis turut merampas sebuah lori tunda dengan nilai sitaan RM70,000, sebuah Honda CRV dengan nilai sitaan RM20,000 dan peralatan memproses air ketum.

Katanya, semua suspek direman tujuh hari bermula 27 Disember hingga 2 Januari depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, katanya, bermula 1 Januari hingga 27 Disember lalu, JSJN Johor membuat tangkapan seramai 18,716 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam tempoh sama membuat rampasan dadah sebanyak 2.76 tan.

"Keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM33.22 juta, turut disita adalah harta bernilai RM14 juta.

"Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 12:53 PM